SIBU: Seorang lelaki yang mengalami penyakit angin ahmar dilaporkan cedera parah selepas diserang lelaki dipercayai mengalami masalah mental di sebuah rumah di Lorong Arau Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian dipercayai berlaku pada waktu pagi ketika mangsa tinggal seorang diri di rumah.

“Kita percaya mangsa yang berusia 53 tahun diserang atau dipukul menggunakan cangkul dan mengalami cedera pada otak dan tengkorak bahagian belakang pecah.

“Selain itu, mangsa juga mengalami luka pada pipi kanan, cuping telinga dan patah tulang tangan kiri.

“Bagaimanapun, setakat ini keadaan mangsa dilaporkan stabil dan boleh bercakap,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Stanley berkata, sekitar jam 7.20 pagi abang mangsa yang juga pengadu kes berusia 59 tahun telah dihubungi oleh mangsa memaklumkan ada seorang lelaki hendak masuk ke dalam rumahnya.

Bimbang akan keselamatan adiknya, pengadu kemudian tiba di rumah terbabit pada jam 8 pagi dan mendapati pintu pagar telah terbuka.

“Pengadu terus masuk dan menjumpai mangsa terbaring dalam keadaan terlentang, kepalanya berlumuran darah serta kesan cedera di telinga kanan. “Pengadu kemudian menghubungi ambulans,” kata beliau.

Menurut Stanley, hasil siasatan awal mendapati rumah tersebut adalah peninggalan ibu bapa pengadu dan kini hanya didiami oleh mangsa.

Beliau memberitahu, mangsa merupakan bekas kakitangan bank dan tidak bekerja lagi kerana mengalami penyakit angin ahmar serta hanya menghabiskan masanya di rumah.

“Tiada kesan pecah masuk ke dalam rumah, tiada kesan pergelutan, manakala dompet serta telefon bimbit milik mangsa yang diletak di meja ruang tamu rumah juga tidak diusik.

“Melalui laporan perubatan berdasarkan kecederaan yang dialami mangsa, kita percaya mangsa dicederakan menggunakan senjata berat.

“Ekoran itu semasa melakukan siasatan di kawasan rumah, kita menjumpai cangkul dipercayai digunakan oleh suspek,” jelasnya.

Tambahnya lagi, berdasarkan maklumat jiran mangsa memberitahu seorang lelaki tidak dikenali berada di halaman rumah mangsa mencampak cangkul ke luar pagar kemudian melarikan diri.

“Kita masih giat mengesan kedudukan suspek yang kini masih bebas serta dipercayai mengalami masalah mental. “Kes akan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” kata beliau.