KUALA LUMPUR: Rakyat sudah mula bosan dan meluat dengan tindak-tanduk ahli politik yang dilihat sentiasa bercakaran dan bertelingkah dalam merebut kuasa pemerintahan negara, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin dukacita kerana kebanyakan ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesusahan yang dihadapi rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Titah baginda,  keadaan rakyat juga bertambah sukar akibat kedudukan ekonomi yang terjejas.

“Ahli-ahli politik seharusnya bertanggungjawab di dalam memastikan penderitaan rakyat ini sentiasa menjadi keutamaan ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kesusahan dan penderitaan rakyat di dalam kehidupan seharian perlu segera ditangani dan diselesaikan dengan mengambil pendekatan drastik dan efektif,” titah Sultan Sharafuddin.

Baginda turut mengambil maklum dan menyokong kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 16 Oktober lalu.

Sultan Sharafuddin mahu semua pihak terutama ahli-ahli politik untuk sentiasa bekerjasama tanpa mengira pendirian parti dan sentiasa fokus di dalam membantu rakyat dan negara menangani masalah penyebaran wabak Covid-19 serta membina semula ekonomi negara yang terjejas teruk.