KUCHING: Institut Koperasi Malaysia (IKM) komited dalam menyediakan latihan pembangunan modal insan koperasi untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pengurusan pertanian moden.

Pengarah IKM Zon Sarawak Siti Maimunah Jerni berkata, pihaknya membawa gerakan koperasi berubah daripada perniagaan dan pengurusan konvensional kepada pengurusan moden berteraskan Internet Pelbagai Benda (IoT).

“Ini membolehkan pertanian dijalankan hanya di hujung jari kerana dengan IoT, kita dapat mengawal semua peralatan moden dengan mudah.

“Namun dalam masa yang sama berupaya menjana pendapatan lumayan,” katanya ketika berucap pada program Bicara ilmu: Niaga Tani Pintar Jana Income Steady anjuran IKM Zon Sarawak di sini.

Beliau berharap program yang disertai sekitar 200 peserta itu mampu melahirkan ramai usahawan tani berjaya dalam koperasi dengan menggunakan sepenuhnya IoT dalam pengurusan pertanian moden.

“Pada tahun ini sahaja, IKM telah menjalankan 27 program berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di seluruh negara selain mengenal pasti 15 koperasi mempunyai produk sendiri yang unik untuk didigitalkan.

“Kita juga bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa) untuk mengenal pasti 30 koperasi pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19 dengan membantu mereka membina laman sesawang dan melatih menggunakan e-dagang,” jelasnya.

Siti Maimunah menyeru semua usahawan untuk bangkit mengubah diri sejajar dengan perubahan teknologi demi kejayaan koperasi dan komuniti setempat.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.