KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki secara sinis membalas kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa berhubung isu politik semasa khususnya berkaitan sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Menerusi hantarannya di Facebook, Asyraf berkata jika merayu supaya menyokong Anwar, pergerakan itu hanya boleh menyebut dengan mengatakan “Minta Maaf Sahajalah”.

Tambah Asyraf pihaknya menjangkakan Dr Mujahid merayu agar UMNO fokus kepada agenda untuk membantu rakyat yang sedang berdepan dengan COVID-19 serta kesan ekonomi yang melanda negara hari ini.

‘’Ingat ke Kekanda YB Dr Mujahid Yusof Rawa merayu UMNO untuk fokus agenda bantu rakyat yang sedang susah dan resah depani Covid-19 dan dampak negatif terhadap ekonomi rakyat.

“Kalau merayu supaya sokong Anwar, PEMUDA UMNO hanya boleh sebut Minta Maaf Sajalah!,’’ ujarnya.

Memetik laporan, Mujahid mendakwa UMNO telah menjadi mangsa kumpulan ‘pembelot’ dalam Kerajaan Perikatan Nasional.

Dalam artikel terbaharu bertajuk ‘Membuang Sial Langkah Sheraton’ yang dimuat naik di Facebooknya, bekas menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu mengajak UMNO untuk bersama-masa Anwar untuk membentuk kerajaan.

Mujahid berkata, ‘mangsa pembelot’ masih ada ruang untuk melakukan sejarah dengan bersama membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan majoriti yang kukuh.

“Kunci memimpin pemulihan besar-besaran negara kini berada di genggaman DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan 91 MP (Ahli Parlimen) yang solid bersamanya.

“Para pembelot telah dikenali rakyat manakala mangsa-mangsa pembelot masih ada ruang untuk melakukan sejarah dengan bersama membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan majoriti yang kukuh.

“Saya merayu rakan-rakan Ahli Parlimen rentas politik kepartian supaya kali ini marilah kita berganding bahu membina ketahanan negara di waktu krisis ini,” kata Mujahid.