KUCHING: Gabungan OKU Sarawak menubuhkan Majlis Anak Istimewa Sarawak (Manis) untuk mentadbir hal ehwal golongan kelainan upaya (OKU).

Protem Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, Manis terdiri daripada Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais), Pertubuhan Orang Cacat Sarawak (POCS), Kuching Spinal Injury Association (Kusia) dan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia Cawangan Sarawak.

“Ia bertujuan membela dan mentadbir hal ehwal OKU negeri secara menyeluruh. “Saya berharap gabungan ini akan menjadi sebahagian daripada badan pelaksana Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan pada masa akan datang,” katanya.

Justeru, Manis akan mengadakan kunjungan hormat kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk mengetengahkan isu atau mencari penyelesaian berkaitan pendidikan, ekonomi, prasarana, kemudahan asas, sosial, sosioekonomi dan perundangan melibatkan OKU.

Sementara itu, Manis menggesa agar Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan melaksanakan Akta OKU 2008 sebagai undang-undang dan tindakan wajib dikenakan kepada pesalah yang melanggar hak golongan OKU.

“Manis juga membuat senarai tuntutan dan keperluan OKU untuk dibawa kepada Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan, Suruhan Jaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) dan juga agensi yang berkaitan.

“Manis juga akan menjemput persatuan dan kelab OKU yang lain menyertai majlis bagi membela dan mentadbir hal ehwal OKU itu sendiri,” ujarnya.

Protem Ahli Jawatakuasa Manis terdiri daripada Protem Penasihat Tetap Jimmy Siang, Protem Presiden Rapelson Richard Hamit, Protem Timbalan Presiden Ishak Ngau, Protem Setiausaha Annuar Putit@Fadelize dan Protem Bendahari Donald Law.