KUCHING: Kerjasama setiap rakyat Sarawak  penting bagi memastikan penularan wabak Covid-19 di negeri itu dapat ditangani secara menyeluruh, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak

“Janganlah anda sesekali membuat sesuatu perkara yang dapat menggugat kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sarawak dengan membantu mereka (PATI) masuk secara haram ke negeri ini,” katanya dalam satu temu bual rancangan Twenty30 yang disiarkan melalui TVS malam tadi.

“Ini kerana dengan cara ini, mereka semestinya masuk dengan tidak menggunakan saluran yang betul dan seterusnya kita tidak ada rekod tahap kesihatan mereka, jadi bayangkan sekiranya mereka ini positif Covid-19, sudah pasti mereka menjadi punca kepada peningkatan kes di negeri itu,” ujarnya.

Douglas Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata, bagi  memastikan PATI khususnya dari Sabah ke Lawas dan Kalimantan, Indonesia tidak menyusup masuki  ke Sarawak, kawalan keselamatan  yang lebih ketat dilakukan di pintu sempadan.

Untuk itu, jelasnya, kerajaan telah menambah bilangan anggota keselamatan termasuk pasukan tentera, pegawai Pasukan Gerakan AM (PGA) dan pegawai polis supaya kawalan keselamatan sempadan terus dapat diperkukuhkan.

Jelas  Uggah lagi, JPBN Sarawak  telah melanjutkan tempoh larangan kemasukan warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang berada Sabah dan Labuan ke negeri itu bermula 4 Oktober  sehingga 15 November ini bagi mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata,  497  PATI dan 28 tekong darat ditangkap dan sejumlah 56 pengusiran dilaksanakan di bawah Ops Benteng yang bermula sejak 1 Mei hingga 18 Oktober lalu.

Beliau menjelaskan, daripada jumlah itu, 459 yang ditahan merupakan warga Indonesia manakala selebihnya dari Filipina, Bangladesh, Thailand, India, Vietnam dan Myanmar.