KUCHING: Seramai 497 pendatang asing tanpa izin(PATI) dan 28 tekong berjaya ditahan hasil operasi bersepadu kawalan Pasukan Khas Nasional Angkatan Tentera Malaysia(NTF ATM) di kawasan sempadan Sarawak dalam tempoh 1 Mei hingga 18 Oktober, tahun ini.

Jurucakap Markas Angkatan Tentera Malaysia Bahagian Hal Ehwal Awam berkata, kejayaan itu hasil kerjasama pihaknya dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Menurutnya, hasil semakan rekod tangkapan mendapati seramai lima warga Malaysia dan 23 tekong dari Indonesia yang menjadi tekong dalam sindiket keluar masuk PATI berkenaan.

Susulan itu katanya, Pasukan Khas Nasional(NTF) kini diberi fokus dalam meningkatkan kawalan pada titik panas (jalan tikus), bagi mengawal aktiviti keluar masuk pendatang asing tanpa izin(PATI) di kawasan sempadan Sarawak.

Jelas beliau, kesiapsiagaan itu dilaksanakan sebagai langkah untuk menangani penularan pandemik Covid-19 di samping mengawal kemasukan PATI menerusi sempadan maritim mahupun darat di Sarawak.

“Aspek kesiagaan ini diberi perhatian setelah melihat kepada situasi peningkatan pandemik Covid-19 di Sabah.

“Penugasan komponen maritim NTF di Sarawak meliputi atur gerak pada lapan sektor rondaan maritim melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia, APMM, PDRM, dan Pasukan Polis Marin.

“Manakala komponen daratan timur melibatkan Tentera Darat Malaysia, PDRM, Pasukan Gerakan Am(PGA), JIM, JKDM, RELA, dan KKM,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, kawalan persempadanan darat Sarawak-Kalimantan melibatkan kawasan sektor Biawak, Kendaie, Serikin, Tebedu, Balai Ringin, Lubok Antu turut diperkasakan dengan operasi sedia ada.

Dedahnya, operasi iaitu Op Awas/ Keris Parang, Op Kerangka, Op Suluh Kenyalang dan Op Jagakawan dilaksanakan oleh TDM manakala Op Awas/ Batas, Op Benteng PDRM dioperasikan oleh PGA.

Dalam pada itu, ujarnya, masyarakat turut digesa memberi kerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan PATI, aktiviti penyeludupan dan pencerobohan sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF (011-62511223).