KUCHING: Ketua Menteri percaya bahawa bakat seni anak Sarawak dapat digilap maka TVS dapat dijadikan sebagai plaform untuk menampilkan bakat mereka.

“Sebab itu saya menubuhkan TVS kerana saya percaya anak-anak Sarawak mempunyai bakat dalam seni dan budaya,” kata Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Contohnya, kata beliau, penyanyi terkenal iaitu Dayang Nurfaizah, Hafiz AF dan Bob AF adalah anak Sarawak.

Begitu juga Miss Universe 2020 (Fransica Luhong James) dan Miss World 2019 (Larissa Ping) juga berasal dari Sarawak.

“Anak Sarawak juga berjaya menempah nama di industri hiburan di Hong Kong. Sepatutnya mereka ini harus dikenali melalui TVS,” ujarnya dalam ucapan perasmian Konvensyen Khas SUPP di sini semalam.

Menerusi TVS, jelas beliau, ramai rakyat Sarawak ingin mempelajari bahasa kaum lain seperti Iban dan Mandarin.

“Ini kerana TVS ditunjangi oleh empat bahasa iaitu Iban, Mandarin, Melayu dan Inggeris,” katanya.

Beliau mengakui  amat tertarik dengan rancangan “Borneo From Above” yang menunjukkan transformasi Daerah Serian daripada pandangan atas.

“Ia sungguh cantik dan berupaya menjadi produk pelancongan,’ kata beliau lagi.

TVS milik Sarawak Media Group mulai bersiaran pada 10 Oktober lalu mulai mendapat sambutan hangat daripada penonton kerana rancangannya yang berorientasikan Sarawak.