KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii berkata, sejak awal Barisan Nasional (BN) telah menegaskan hanya menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan bukannya Perikatan Nasional (PN) sebagai parti.

Maka jelas beliau, apabila UMNO mahu mengkaji semula kerjasama dengan PN, tidak timbul soal UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana UMNO sudah membuat ketetapan “No Anwar No DAP’.

“PPBM harus ada sifat ikhlas dalam membentuk kerjasama dengan UMNO, inilah soal utamanya.

“UMNO adalah parti berstruktur dan setiap perkara, permasalahan serta pendapat dalam parti selalunya ada saluran untuk bermusyawarah dan berbincang untuk mendapatkan keputusan.

“Ini cara UMNO sejak penubuhan, bukan satu atau dua orang yang berpengaruh membuat keputusan seperti PPBM,” kata beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Razlan, UMNO juga adalah sebuah parti yang sentiasa memegang dan menunaikan janji. Kerana itu bila janji tidak dikota oleh PPBM seperti apa yang berlaku di PRN Sabah, UMNO berasa terkilan.

“Atas dasar itu, UMNO membuat ketetapan untuk mengkaji semula ikatan politik dengan komponen PN agar UMNO tidak lagi diperkotak-katik atau terdapat agenda ‘tersembunyi’ yang bakal merugikan UMNO untuk jangka panjang.

“Yang menjadi keutamaan sekarang adalah apa tawaran baru dan rekonsiliasi dari Muhyiddin kepada UMNO jika ingin meneruskan ikatan politik dan meneruskan kerajaan sedia ada.

“UMNO juga ada hati, perasaan dan maruah. Tahap kesabaran juga ada hadnya. Biar berkawan ikhlas dan berpolitik bermaruah,” katanya.