Terlebih dahulu, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada SUPP atas penganjuran konvesyen ini.

Saudara-saudari, kita mengadakan konvesyen dalam suasana mencabar ekoran pandemik Covid-19 yang menyerang dunia termasuk Malaysia juga Sarawak. Sehingga kini, tiada sebarang penjelasan untuk Covid-19 berakhir malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak boleh membuat sebarang ramalan.

Meskipun vaksin sedang dibangunkan namun ia mengambil masa dan kita perlu menerima hakikat yang Covid-19 tinggal bersama-sama kita sekarang. Malah ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan penduduk dunia tetapi bidang ekonomi secara keseluruhannya.

Justeru, sebagai ahli politik kita mencari penyelesaian dalam fasa pasca-Covid-19. Maka, Kerajaan GPS menubuhkan Jawatankuasa Pelan Tindakan Ekonomi untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi rakyat Sarawak.

Ini kerana pandemik Covid-19 menukar gaya hidup kita. Pada Sabtu lalu saya di Belaga apabila hanya mampu meletakkan tangan di dada kerana dilarang berjabat tangan dalam usaha mengekang penularan Covid-19. Kita juga perlu memakai penutup separuh muka dan tiada siap tahu sama ada kita senyum atau ketawa.

Berikutan itu, pendekatan ekonomi kita perlu berubah. Selaku Ketua Menteri, saya sedang berusaha untuk menstruktur semula pendekatan ekonomi kita kerana bidang perniagaan tidak boleh dilakukan seperti sebelum ini.

Namun, kita bertuah kerana saya memperkenalkan ekonomi digital terlebih dahulu sebelum wabak Covid-19 muncul. Apabila Covid-19 wujud, rakyat Sarawak bersedia untuk mengendalikan perniagaan dalam talian termasuk pembayar tanpa tunai serta mengesan lokasi risiko tinggi wabak itu. Malah, kita turut memperkenalkan gelang tangan kepada individu di bawah kuarantin.

Ketika saya menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya memberitahu Perdana Menteri mengenai langkah-langkah Sarawak mengekang Covid-19. Kemudian, Perdana Menteri berkata kita ikut langkah Kerajaan Sarawak.

Selain ekonomi digital, kita juga memiliki stesen televisyen sendiri iaitu TVS yang pertama di Malaysia. Menerusi TVS, ramai rakyat Sarawak ingin mempelajari bahasa kaum lain seperti Iban dan Mandrin.

Ini kerana TVS ditunjangi oleh empat bahasa iaitu Iban, Mandrin, Melayu dan Inggeris. Saya juga amat tertarik dengan rancangan “Borneo From Above” yang menunjukkan transformasi Daerah Serian daripada pandangan atas. Ia sungguh cantik dan berupaya menjadi produk pelancongan.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, banyak aktiviti perniagaan tergendala. Namun, semasa PKPP, aktiviti perniagaan di Sarawak disambung dengan serta-merta dan proses pemulihan kita agak cepat berlaku berbanding negeri lain. Kita membina jalan raya dan jambatan demi rakyat. Kita meneruskan projek yang dibatalkan oleh PH termasuk pembinaan sembilan jambatan serentak. Ini termasuk terpanjang di Malaysia, Jambatan Batang Lupar kemudia Batang Lassa, Batang Krian, Batang Sadong dan lain-lain.

Kita juga membina jalan raya untuk membuka bidang ekonomi di kawasan luar bandar. Malah, saya berkesempatan menunggang motosikal dari Sibu ke Kapit dua minggu lalu yang hanya mengambil masa sejam 45 minit. Kini kita berusaha mentransformasikan Kapit sehingga ke Nanga Mujong. Kita ingin meningkatkan bidang pertanian dan keselamatan makanan yang amat penting kini.

Kini kita juga ke arah penanaman semula pokok selepas ditebang. Kita amat bertuah kerana mempunyai hujan dan cahaya matahari yang mencukupi untuk pokok-pokok ini membesar. Oleh itu kita mempunyai polisi untuk penanaman semula hutan agar kita mendapat udara yang segar. Semasa berdepan dengan Covid-19, kita memerlukan udara segar dan gaya hidup sihat. Ini kerana Covid-19 muncul kerana keadaan atau sekeliling tidak sihat.

Bagi saya, selagi kita mempunyai imuniti kuat, kita dapat terhindar daripada pelbagai penyakit. Ia seumpama GPS yang memiliki imuniti. Contohnya semasa pelantikan Perdana Menteri, saya berada di Belaga ketika itu. Pada pukul 3.30 petang saya balik ke Kuching dan ketika itu pihak Istana Negara menghubungi saya untuk bertanyakan apa pendirian GPS. Saya katakan GPS berada di belakang Muhyiddin dan jam 5 petang, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Bagaimanapun, sehingga kini kemelut politik negara belum berakhir. Saya tidak mengkritik mana-mana kerajaan tetapi dalam kita berdepan dengan Covid-19, rakyat harus diutamakan. Begitu juga GPS yang sentiasa mengutamakan rakyat Sarawak. Sebab itu, politik yang stabil amat penting.

Banyak pihak menyoal saya mengenai Pilihan raya Negeri (PRN). Kita harus mengadakan PRN yang mungkin lima atau enam bulan lagi kerana mandat kita tamat. Saya tidak kisah jika tiada PRN kerana GPS akan terus memerintah tetapi kita percaya dengan kuasa rakyat. Kita mahu mandat daripada rakyat.

Saya terkejut dengan kenyataan pihak pembangkang yang memberitahu tidak perlu mengadakan PRN. Jangan risau, kita akan selesaikannya dalam kalangan rakyat Sarawak sendiri. Kita harus memberi rakyat kuasa dalam kerajaan yang demokrasi.

Di samping itu, Sarawak ingin menjadi negeri termaju dalam Malaysia menjelang tahun 2030. Maka, dalam polisi ekonomi, kita fokus kepada empat bidang utama.

Pertamanya ialah kekuatan kewangan apabila Petronas kini sanggup membayar SST kepada kita. Keduanya, melaksanakan hak kita secara mendalam dalam industri minyak dan gas. Ketiga, mempelbagaikan pendapatan untuk perolehan tambahan. Kita boleh mendapatkan pendapatan tambahan tetapi tunggu selepas PRN saya akan umumkannya. Keempat ialah mengembangkan bakat anak-anak Sarawak.

Sebab itu saya menubuhkan TVS kerana saya percaya anak-anak Sarawak mempunyai bakat dalam seni dan budaya. Contohnya penyanyi terkenal iaitu Dayang Nurfaizah, Hafiz AF dan Bob AF adalah anak Sarawak. Miss Universe 2020 (Fransica Luhong James) dan Miss World 2019 (Larissa Ping) juga berasal dari Sarawak. Anak Sarawak juga berjaya menempah nama di industri hiburan di Hong Kong. Sepatutnya mereka ini harus dikenali melalui TVS.

Anak Sarawak juga banyak yang bekerja di Singapura. Sebelum ini saya bertemu dengan seorang eksekutif pemasangan penghadang di Marina Bay di Singapura. Kedudukannya dalam organisasi ialah kedua tinggi dan beliau memperkenalkan diri berasal dari Bintulu. Mengapa perkara ini berlaku? Ini kerana tiada peluang ekonomi di Sarawak. Ini yang kita mahu tambah baik untuk membawa kembali bakat-bakat ke Sarawak.

Ada juga pihak bertanya kepada saya mengapa ekonomi digital? Namun apabila Covid-19 muncul, ia tidak menjadi masalah kepada kita. Contohnya nelayan di Buntal menjual hasil tangkapan dalam talian. Justeru, kita ingin terus mengasah bakat mereka dalam bidang ini.

Dalam pada itu, kita menekankan pendidikan di Sarawak. Kita mengiktiraf UEC dan ia tidak menjadi masalah berbanding negeri-negeri lain yang terus dibantah. Sekiranya sekolah Cina memerlukan dana, kita menyalurkan peruntukan kepada mereka melalui jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Sim Kui Hian (Presiden SUPP). Ini kerana kita mempunyai dana. Saya turut kagum dengan SJKC di Bako (Kota Samarahan) yang mengguna pakai pendigitalan dalam bilik darjah mereka.

Kita juga mengekalkan penggunaan bahasa Inggeris dalam sekolah-sekolah di Sarawak. Maka, kita tubuhkan lima buah sekolah antarabangsa untuk anak-anak Sarawak. Saya terkejut dengan kenyataan seorang profesor yang mengatakan Sarawak melawan perundangan pendidikan Malaysia.

Dia tidak tahu dalam IGC bahasa Melayu dan Inggeris adalah bahasa semasa yang sesuai diguna pakai. Maka, sekolah antarabang ini adalah usaha kita membantu anak-anak golongan B40 yang pandai. Kita beri mereka pendidikan percuma yang bertaraf antarabangsa menggunakan sukatan Cambridge. Dengan itu, kita dapat lahirkan Bill Gates dalam kalangan anak Sarawak. Mereka tidak boleh menjadi jaguh kampung sahaja. Mereka perlu menjadi jaguh dunia seperti bidang ekonomi digital.

Kini dunia bergerak ke arah hidrogen. Sebelum ini, seorang pensyarah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui saya untuk mengetahui hidrogen di Sarawak. Mereka mengambil masa lima tahun ke arah penggunaan hidrogen tetapi kita berjaya membangunkan protaip tenaga itu dalam tempoh setahun. Bulan ini saya akan mengumumkan penggunaan kuasa hidrogen di Sarawak. Malah, ada pihak yang ingin membuat pelaburan. Ini adalah usaha kita ke arah teknologi hijau dengan sumber semula jadi seperti empangan hidro. Ini adalah hala tuju ekonomi kita menjelang tahun 2030.

Mari kita bekerjasama untuk merealisasikannya. SUPP, PBB, PDP dan PRS perlu bergerak sebagai satu pasukan demi menggapai masa depan yang cerah. Negara atau negeri akan mundur sekiranya pemimpinnya tidak mempunyai tujuan yang jelas. Kita ingin membina masa depan bersama-sama. Populasi rakyat Sarawak hanya 2.8 hingga 2.9 juta sahaja. Tidak ramai. Maka, golongan muda, perlu menambah populasi di negeri kita. Kita bantu setiap bayi yang lahir sebanyak RM1,000 tanpa mengira bangsa dan agama. Kita juga membantu golongan warga emas dengan Kenyalang Gold Card termasuk upacara pengebumian sebanyak RM3,000. Sebab itu kita berusaha menambah pendapatan kita.

Saya juga menyokong resolusi dana kedaulatan yang dikemukan oleh Kui Hian. Kita ingin belajar dari negara Norway untuk membangunkan menggunakan sumber semula jadi. Saya berharap menjelang tahun 2024 hingga 2025, pendapatan kita bertambah untuk menjadi Sarawak semakin kukuh. Mari kita jadikan PRN sebagai medium untuk terus kuat di Sarawak.

Kepercayaan utama kita adalah dalam ekonomi, sosial dan memperkasakan alam sekitar. Kini kita mempunyai teknologi untuk menjadikan pokok matang dalam tempoh empat hingga enam tahun untuk ditebang. Kemudian, penanaman semula hutan harus dilaksanakan untuk melindungi alam semula jadi.

Berkaitan dengan polisi lain-lain, anda harus tunggu apa yang berlaku dalam masa sekarang dan bulan depan. Apa yang pasti industri minyak dan gas memberi kita input baharu dalam mengembangkan ekonomi.

Sekian, terima kasih!

Teks ucapan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sempena Konvensyen SUPP semalam.