Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berada dalam sorotan media. Namanya bagai tidak pernah tenggelam sejak 1982 ketika Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad membawa beliau ke dalam Umno.

Sejak itu, Ahli Parlimen Port Dickson yang karismatik, bertenaga dan punya pesona itu, bagai tidak menoleh ke belakang sehingga kemudiannya diberi kepercayaan menjadi Timbalan Perdana Menteri sebelum dipecat secara dramatik oleh Dr Mahathir pada 1998. Segala-gala yang berlaku selepas itu sudah menjadi sejarah.

Ketika itu, beliau hanya selangkah lagi untuk menjadi Perdana Menteri. Menjelang PRU-14, beliau dijanjikan untuk mengambil alih jawatan PM daripada Dr Mahathir jika PH menang, tetapi sekali lagi Anwar dikecewakan oleh Dr Mahathir yang memang tidak percaya dari awal dengan pemimpin pembangkang itu.

Anwar masuk ke dalam perangkap yang sama dua kali, bagai tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu. Beliau bagai tidak tahu siapa Dr Mahathir sebenarnya.

Baru-baru ini, Anwar mendakwa dengan begitu yakin bahawa beliau punya majoriti yang cukup meyakinkan untuk membentuk kerajaan.  Majoriti daripada 221 ahli parlimen  ketika ini didakwa memberi sokongan kepadanya, tentu tidak termasuk ahli parlimen daripada Pejuang yang diterajui Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Langkawi itu memang benci kepada Anwar. Kalau dapat, Dr Mahathir mahu menyekat Anwar daripada menduduki kerusi itu dengan apa-apa cara. Jadi, apabila tular gambar  Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah, ahli parlimen paling lama berada di dalam Dewan Rakyat, serta pernah menjadi seteru Dr Mahathir, adakah ini satu lagi konspirasi untuk menyekat Anwar daripada menjadi PM?

Gambar berkenaan difahamkan diambil di kediaman Ku Li. Pelbagai spekulasi mulai diperkatakan di kedai kopi susulan penyebaran gambar berkenaan apatah lagi selepas Ku Li menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Yang mengejutkan adalah apabila dua  pucuk surat Ku Li  kepada Speaker mmengemukakan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin tersebar.

Penularan surat berkenaan  dibuat dengan sengaja dengan mesej politik yang kuat.

Surat yang satu lagi ialah jawapan Speaker kepada surat berkenaan.

Adakah Ku Li memainkan peranan sebagai watak utama dalam drama politik ini? Maksudnya, adakah  beliau calon baharu untuk menjadi PM?  Kehadirannya mengubah senario dan drama politik di peringkat nasional.

Ku Li yang mempunyai pendirian sendiri dan dipandang tinggi dalam arena politik negara dipercayai tidak mewakili Umno ketika menghadap Agong.

Kemunculan beliau berlaku ketika Umno bagai memberi kata dua kepada Muhyiddin dan ketika kedudukan PM kelihatan seolah-olah goyah.

Ini merupakan tindakan penuh strategi, menyerang pada waktu yang tepat. Umno ketika ini membuat tuntutan dan permintaan baharu kepada Muhyiddin. Umno berasa dibuli dan dilayan sebagai parti kelas kedua dalam PN. Berbanding PKR malah Bersatu sendiri, jumlah ahli parlimen Umno adalah jauh lebih banyak.

Tetapi bekas pemimpin PKR yang dibawa oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hampir semua mendapat ganjaran menjadi menteri dan timbalan menteri. Inilah yang mengecewakan pemimpin dan  tiga juta ahli akar umbi Umno.

Umno dilihat parti yang tidak ada taring dalam PN kerana hanya diberi jawatan atau kementerian kurang ampuh. Pelantikan Datuk Hajiji Noor daripada Bersatu sebagai Ketua Menteri di Sabah memburukkan lagi keadaan. Jadi, tidak menghairankan, Umno mahu ketempangan itu diperbetulkan.

Bukan mengejutkan kalau Umno menuntut dilakukan rombakan kabinet dan jawatan Timbalan Perdana Menteri diberi kepada parti itu. Apakah pilihan terbaik Muhyiddin kalau beliau mahu kedudukannya selamat? Tunduk kepada tuntutan itu atau mendiamkan diri?  Mampukah Muhyiddin memyelamatkan diri daripada perkembangan terkini dalam politik negara itu?

Kalau tidak, mungkin Umno akan memberi sokongan kepada Anwar. Di sinilah menariknya permainan politik sekarang.

Harus diingat, ada dua kem dalam Umno. Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak menyokong Anwar — atas alasan yang kita semua tahu.

Mereka ini dikategorikan ke dalam kluster mahkamah yang punya kes mahkamah. Manakala kem Annuar Musa pula memberi sokongan terhadap Muhyiddin, manakala kem Timbalan Presiden Mohammad Hasan pula tidak menyokong Muhyiddin, Anwar dan DAP.  Bayangkan Umno yang begitu membenci DAP untuk sekian lama tiba-tiba mahu bekerjasama dengan DAP?

Persoalannya sekarang, berapa orangkah yang menyokong Ku Li dan berapa orangkah pula yang menyokong kem Zahid?  Angka berkenaan begitu penting ketika sumber menyatakan lebih banyak  ahli parlimen Umno menyokong Ku Li.

Yang pasti, Dr Mahathir meskipun bermusuhan sebelum ini dengan Ku Li akan memberi sokongan kepada putera dari Kelantan itu. Ini dengan sendirinya  bakal melemahkan pengaruh dan kedudukan Anwar, sekali gus mengekang kemaraannya  sebagai PM.  Jadi, adakah Ku Li dapat disifatkan sebagai kuda hitam dalam perkembangan politik semasa?

Dalam keadaan sekarang, Anwar dan Ku Li kini sedang bersaing untuk berada di kerusi PM di Putrajaya.

Politik memang penuh dengan kanehan. Pada 1987, Ku Li pernah menentang Dr Mahathir dalam perebutan kuasa untuk menjadi Presiden Umno dan seterusnya memungkinkan mereka menuju ke kerusi PM.  Dengan sokongan Anwar, Dr Mahathir menang hanya dengan 43 undi yang membawa kepada pengharaman Umno. Manakala Ku Li dengan para penyokongnya membentuk Semangat 46, tetapi untuk kemudiannya kembali semula ke dalam pangkuan Umno.

Pada Julai lalu Dr Mahathir mendedahkan bahawa Anwar Ibrahim tidak layak menjadi calon Perdana Menteri bagi mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) Plus.

Menurut Perdana Menteri ketujuh itu, Anwar  tidak popular dalam kalangan orang Melayu, selain menyifatkan sokongan tersebut penting untuk mana-mana parti untuk menang dalam pilihan raya. Bagi Dr Mahathir hanya dia yang layak menjadi Perdana Menteri tanpa menyedari bahawa dirinya sudah terperangkap dalam kapsul masa.

Namun, mantan Presiden Umno itu berkata, jika Anwar bukan Perdana Menteri ‘hari ini’, maka ia adalah kerana perbuatan beliau sendiri.

“Beliau tidak memberikan saya sebarang pilihan selain menyingkirkannya,” kata Dr Mahathir.

“Saya melakukan apa yang saya rasa terbaik untuk negara. Saya mungkin telah melakukan banyak kesilapan, tetapi menyingkirkan Anwar bukanlah satu daripadanya” kata  Dr Mahthir dalam memoir hampir 1,000 halaman, A Doctor in the House yang diterbitkan pada 2011.

Gambar faiI

Dr Mahathir telah memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 sehingga kemudiannya mencetuskan gelombang reformasi.

Anwar kemudiannya dibelasah Ketua Polis Negara di Bukit Aman sehingga matanya lebam, dan imej itulah memberi kelebihan kepada pembangkang apabila digunakan sebagai poster dalam pilihan raya umum 1999.

Anwar kemudian dihumban ke dalam penjara di bawah pemerintahan yang dianggap bersifat kuku besi.  Sementara  Barat menyifatkan mantan Perdana Menteri itu sebagai keras kepala, perkauman, anti-Yahudi, dan angkuh, beliau pula menyifatkan Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Mantan Timbalan Perdana Menteri itu telah didapati bersalah oleh mahkamah sehingga membawa kepada pemenjaraan beliau di Sungai Buloh atas dakwaan kes liwat. Buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM, merupakan antara sebab Anwar jatuh.

Persoalannya, adakah sekali lagi Anwar sekadar bermain drama politik atau beliau akan kempunan untuk menjadi PM disebabkan kemunculan kuda hitam, Ku Li?