SIBU: Seorang lelaki dan wanita telah ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah beralamat Lorong RTM, di sini kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak DSP Sekam Anoi berkata, pasukan Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak telah menyerbu kedua-dua saspek ketika berada dalam sebuah kenderaan 4×4 di kawasan garaj kereta pada 16 Oktober lalu, sekitar jam 8.40 malam.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta dan bahagian kabinet dapur rumah saspek, berjaya mememui dadah jenis Ketamin (890.57 gram), Erimin 5 (2.80 gram) dan 65 biji pil Ecstacy (30.3 gram).

“Dan nilai keseluruhan anggaran ramapasan dadah tersebut adalah RM45,720.

“Turut dirampas adalah sebuah kenderaan 4×4, seutas rantai leher/loket, seutas gelang kaki/loket serta tiga bentuk cincin yang bernilai RM63,246 secara keseluruhan,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Tambahnya, kes tersebut melibatkan lelaki berusia 34 tahun yang merupakan peniaga dan perempuan berusia 29 tahun merupakan pekerja di kedai gunting rambut atau kecantikan. Kedua-dua suspek terbabit berbangsa Cina.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap saspek lelaki mendapati positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, Ketamin dan Benzo manakala saspek perempuan negatif dadah.

“Kedua-dua saspek telah direman selama enam hari dan siasatan lanjut masih diteruskan. Hasil siasatan juga mendapati mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” jelasnya.

Beliau mendedahkan, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.