KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengajak semua parti komponen GPS supaya mengukuhkan kerjasama sebagai satu pasukan yang mantap demi memastikan Sarawak dapat mencapai masa depan yang cerah.

“SUPP, PBB, PDP dan PRS perlu bergerak sebagai satu pasukan demi menggapai masa depan yang cerah,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Khas SUPP di sini, semalam.

Empat parti berkenaan membentuk GPS yang ditubuhkan pada 12 Jun 2018 selepas kekalahan BN di peringkat pusat dalam PRU-14.

“Negara atau negeri akan mundur sekiranya pemimpinnya tidak mempunyai tujuan yang jelas. Kita ingin membina masa depan bersama-sama,” ujarnya.

“Populasi rakyat Sarawak hanya 2.8 hingga 2.9 juta sahaja. Tidak ramai. Maka, golongan muda, perlu menambah populasi di negeri kita. Kita bantu setiap bayi yang lahir sebanyak RM1,000 tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya lagi.

“Kita juga membantu golongan warga emas dengan Kenyalang Gold Card termasuk upacara pengebumian sebanyak RM3,000. Sebab itu kita berusaha menambah pendapatan kita,” kata Abang Johari.

Beliau berkata, Sarawak  ingin belajar daripada negara Norway untuk membangun menggunakan sumber semula jadi.

“Saya berharap menjelang tahun 2024 hingga 2025, pendapatan kita bertambah untuk menjadi Sarawak semakin kukuh. Mari kita jadikan PRN sebagai medium untuk terus kuat di Sarawak,” katanya.

Banyak pemerhati politik menjangka PRN Sarawak diadakan sebelum akhir tahun ini.

“Kepercayaan utama kita adalah dalam ekonomi, sosial dan memperkasakan alam sekitar. Kini kita mempunyai teknologi untuk menjadikan pokok matang dalam tempoh empat hingga enam tahun untuk ditebang. Kemudian, penanaman semula hutan harus dilaksanakan untuk melindungi alam semula jadi,” ujar beliau.

“Berkaitan dengan polisi lain-lain, anda harus tunggu apa yang berlaku dalam masa sekarang dan bulan depan. Apa yang pasti industri minyak dan gas memberi kita input baharu dalam mengembangkan ekonomi,” katanya.