SRI AMAN: Kesatuan Guru Sarawak (STU) memohon orang awam dan ibu bapa tidak mempertikaikan tugasan guru di luar waktu dan luar kawasan sekolah.

Naib Presiden Kullin Dayang berkata, ia terutamanya dalam mengurus pelajar setelah tamat sesi pembelajaran.

“Ini kerana tugas di luar kawasan sekolah lebih kepada peranan ibu bapa,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) STU Ke-17 Bahagian Sri Aman di Hotel Sri Simanggang.

Beliau turut memohon Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak terlalu menekan guru mengenai kehadiran pelajar yang berkurangan semasa Covid-19.

“Ini kerana pihak sekolah tiada hak untuk menghalang ibu bapa merehatkan anak-anak mereka di rumah,” jelasnya.

Beliau turut meminta guru bersabar dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pelajar kerana keselamatan mereka dan diri sendiri adalah keutamaan dalam menangani penularan Covid-19.

Mengulas mengenai AGM, beliau berharap STU sentiasa berusaha meningkatkan keahlian agar menjadi satu kesatuan yang kuat dan mempunyai suara dalam menyuarakan hak dan kebajikan guru.

Selain itu ujarnya, STU telah menjalin kerjasama dengan Sekolah Perniagaan Unimas untuk menggalakkan ahlinya menyambung pengajian ke peringkat sarjana dengan bayaran yang lebih murah.

Turut diadakan majlis penyampaian wang insentif kepada pelajar Sri Aman yang cemerlang dalam peperiksaan awam. Pengerusi STU Sri Aman Gomez David Apat dan semua ahli-ahli STU Sri Aman turut hadir.