KUCHING: Datuk Patinggi  Abang Johari Tun Openg berkata, GPS akan terus mengutamakan masa depan dan kebajikan rakyat rakyat daripada terjebak dalam permainan politik.

Hal ini demikian, menurut Ketua Menteri kerana ketika ini  negara berdepan situasi tidak menentu akibat ancaman  penularan Covid-19 di seluruh dunia.

Dunia kini menyaksikan lebih 40 juta sudah dijangkiti dengan lebih sejuta kematian.

“Bagi GPS, rakyat mesti diutamakan, itulah sebabnya  kestabilan politik sangat penting,” tegasnya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap menyempurnakan penutupan Konvensyen Khas Parti Rakyat Bersatu Sarawak  (SUPP) di Dewan Sa’ati Ibu Pejabat parti itu di sini hari ini.

Abang Johari berkata semua parti komponen GPS harus bekerja sebagai satu pasukan demi masa depan Sarawak yang lebih baik.

GPS yang terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan PDP ditubuhkan pada 12 Jun 2018 selepas kekalahan BN di peringkat pusat.

Pengerusi GPS itu berkata beliau bersyukur kerana mendapat kerjasama yang baik daripada semua komponen GPS untuk membina masa depan.

“Dengan kerjasama rapat dalam GPS kita akan memulakan perjalanan’kita menuju negeri maju menjelang 2030,” ujarnya.