KAKUS: Kejadian penularan wabak pandemik COVID-19 di Malaysia kini memasuki peringkat ketiga dengan jumlah jangkitan meningkat.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, (Undang Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikei Tayai berkata keadaan ini membimbangkan dan meminta masyarakat terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Walaupun Daerah Tatau dan kawasan DUN Kakus hijau, namun sikap berjaga-jaga terus perlu diamalkan.

“Ini kerana virus itu bukan sahaja tidak nampak, tetapi sehingga kini belum ada vaksin atau ubat yang berkesan dalam mencegah penyakit ini daripada terus merebak.

“Teruskan mengamalkan penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka, menggunakan pembersih tangan, elakkan berjabat tangan, jangan berada di kawasan sesak dan patuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Sepakat Komuniti (Pembudayaan Norma Baharu: Putuskan Rantaian COVID-19) di Rumah Gisa, Teluk Batu, Not Nanga Tabau, Tatau pada Jumaat.

Dalam pada itu, Datuk John Sikei yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus meminta penduduk mendapatkan maklumat yang betul dari semasa ke semasa berkenaan pencegahan wabak COVID-19 di media sosial dan media cetak serta elektronik.

Pada majlis itu, beliau telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Gisa dan RM6,000 kepada Biro Wanita Rumah Gisa.

Hadir sama Pegawai Penerangan Daerah Tatau Donny Minggu Ling, wakil Pegawai Daerah Tatau Bakar Edward Enggu, Pemanca Gerosen anak Jubin, Ketua Balai Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Tatau PBT Jankey Jikat, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Jelia Jemat, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Tatau Joseph Mawan, dan Tuai Rumah Gisa Pandang.

Terus Patuhi Dan Amalkan SOP Pencegahan COVID-19KAKUS: Kejadian penularan wabak pandemik COVID-19 di Malaysia kini…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Saturday, October 17, 2020