KUALA LUMPUR: Rakyat negeri Sarawak tidak hairan atau terkejut dengan pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Menurut Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee, tidak ada perkara menggemparkan daripada dakwaan Anwar itu kerana Ahli Parlimen Port Dickson itu sudah dikenali suka membuat gempar yang seumpama.

“Sudah banyak kali dia buat pengumuman macam itu sebelum ini, tapi akhir sekali semuanya tidak menjadi. Orang ramai termasuk ahli PKR sendiri pun dah mula bosan dengan janji Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Kata beliau, Anwar tidak sepatutnya membuat masalah apatah lagi ketika ini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terpaksa dilaksanakan semula di beberapa negeri yang antaranya terkesan dari PRN Sabah.

Katanya dalam satu kenyataan, rakyat telah menunjukkan kemarahan disebabkan akibat dihadapi dan mengisyaratkan tidak mahu PRU-15 dalam masa terdekat yang memungkinkan PKP dilaksanakan semula di seluruh negara.

Anwar sebelum ini mendakwa sudah mempunyai jumlah ahli parlimen yang mencukupi dan meyakinkan untuk membentuk kerajaan.

Pada Selasa lalu, pemimpin pembangkang itu telah menghadap Yang di-Pertuan Agong.