KUCHING: Parti yang mewakili kaum Cina di Sarawak, SUPP memerlukan personaliti yang mempunyai kelebihan dari segi keperibadian untuk membawa kemenangan dalam PRN-12 nanti.

“GPS memerlukan personaliti yang mempunyai kelebihan dari segi keperibadian untuk membawa kemenangan. SUPP pada PRN Sarawak akan datang dijangka tidak mempunyai masalah dengan figura seperti Michael Tiang, Milton Foo dan Robert Lau untuk menerajui pasukan mereka berdepan dengan calon DAP, PKR mahupun PSB,” kata penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung.

PRN Sarawak dijangka diadakan sebelum akhir tahun ini di sebalik gesaan supaya ia ditangguhkan  susulan ancaman Covid-19 di negara ini.
Ditanya sama ada pola pengundian di kawasan majoriti Cina di Sabah akan turut berlaku di Sarawak nanti, Dr Lee menegaskan “tidak semestinya kerana model dan politik di Sarawak berbeza dengan di Sabah.”

“Model politik untuk setiap kerusi di Sabah hampir berlainan semuanya. GPS terdiri daripada parti-parti politik tempatan. GRS hanyalah PN Plus seperti PBS di Sabah,” ujarnya.

Menurut Dr Lee, di Sabah, pengundi mengundi calon DAP kerana simbol parti tersebut.

DAP Sabah memenangi  enam daripada tujuh kerusi ditandinginya di kawasan majoriti Cina.

Meskipun tidak bertanding atas logo tradisonal parti itu, DAP berjaya memenangi hampir semua kerusi yang ditandinginya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Parti itu menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas; Luyang; Kapayan; Elopura; Tanjong Papat dan Sri Tanjong.

Mereka hanya tewas di DUN Bingkor kepada calon Bersatu.