KUCHING: Meskipun  model politik Sabah tidak dapat diikut dan digunakan di Sarawak, penganalisis politik Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, ada beberapa perkara yang dapat dipelajari daripada PRN Sabah pada 26 September lalu.

Kata beliau yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Sabah, meskipun jumlah kos Covid di Sarawak terkawal berbanding di Sabah, tiada sesiapa boleh mengambil mudah dalam soal yang membabitkan kepentingan awam ini.

“Kita juga sedar PRN Sabah adalah mandatori. DUN Sarawak akan terbubar secara automatik berikutan bakal genap lima tahun tidak lama lagi,” katanya.

Dr Lee isu yang menjadi keutamaan di Sabah berbeza dengan di Sarawak.

“Antara polemik paling besar yang dianggap sebagai isu dinasour di Sabah ialah isu pendatang tanpa izin yang juga merupakan ibu kepada pelbagai masalah seperti pencemaran, setinggan, penyakit berjangkit rentas sempadan seperti polio, pendidikan kanak-kanak tanpa dokumen sehinggalah orang tanpa kewarganegaraan dan banyak lagi,” katanya dalam temu bual dengan Sarawak Voice.

Mengulas lanjut, pensyarah yang berasal di Sarawak itu berkata, GPS perlu bersedia dengan tentera siber dari luar Sarawak.

“Pada PRN Sabah, begitu banyak tentera siber dari Semenanjung dan Sarawak terlibat membantu kempen melalui media sosial,” jelasnya.

“Kita tidak boleh menolak gelombang yang berlaku dalam media sosial itu akan mempengaruhi pola pengundian, khususnya di kerusi bandar yang mempunyai akses Internet yang lebih baik,” ujarnya.

Dalam PRN Sabah, Warisan yang memerintah telah tumbang di tangan PN dan BN apabila ia perikatan berkenaan memenangi 38 kerusi daripada 72 kerusi.