SIMUNJAN: Berita gembira buat warga Kampung Kelka apabila tapak untuk Pesta Ujud Kampung Kelka akan dibina jambatan di sepanjang pantai untuk dijadikan sebagai tempat bersantai atau rekreasi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan,Awla Dris berkata dengan terbinanya jambatan itu nanti, ia akan menjadi salah satu cara menarik orang luar untuk datang ke Kampung Kelka.

“Dengan terbinanya jambatan ini nanti maka ia memudahkan orang ramai melihat “kelip-kelip” kerana terdapat pokok api-api dan pokok pedada di sekitar kawasan tersebut dan ini adalah salah satu cara menarik orang luar untuk datang ke kampung ini.

“Oleh demikian ia boleh dijadikan program pelancongan dan dalam masa yang sama boleh membuka peluang penduduk kampung ini menjana pendapatan melalui perniagaan.”

Beliau berkata demikian semasa Program Santai Belia Kelka Bersama Pemimpin di Dewan Serbaguna Kampung Kelka pada Sabtu.

Dalam majlis itu, beliau memberi peluang kepada belia dan penduduk kampung untuk sesi soal jawab mengenai perkembangan-perkembangan di kampung pada masa akan datang serta apa yang telah dibuat untuk penduduk kampung.

ADUN Simunjan itu turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi Pertandingan Semarak Merdeka Kampung Kelka 2020 sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang lepas.

Bina Jambatan Sepanjang Pantai di Kampung Kelka, Bakal Jadi Tumpuan Untuk BersantaiSIMUNJAN:Berita gembira buat warga…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Saturday, October 17, 2020