KUCHING: Pembangunan dan perkembangan kanak-kanak merupakan perkara penting dalam agenda pembangunan kanak-kanak, di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraaan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia termasuk  pembangunan holistik dan seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan mental.

Katanya, bukti menunjukkan bahawa pembangunan kanak-kanak di peringkat awal sangat penting supaya mereka sihat dan dapat menjalani proses pembelajaran dengan baik

“Setakat ini, jumlah kanak-kanak Sarawak ialah 863,400 dan daripada jumlah tersebut, 441,400 adalah kanak-kanak lelaki dan 422,000 adalah kanak-kanak perempuan,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak dan Hari Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) 2020, di sini Sabtu.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dr. Saadiah Abdul Samat dan Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Mohamad Guntor Rajaee.

Fatimah berkata, sambutan dilaksanakan dalam kelaziman baharu bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Berbanding sebelum ini, sambutan tahun ini disambut tanpa kehadiran kanak-kanak kerana faktor keselamatan mereka,” katanya.

Katanya, di peringkat Persekutuan, tema sambutan Hari Kanak-Kanak adalah Bumi Lestari: Kanak-Kanak Dilindungi manakala di peringkat Sarawak tema yang di pilih bagi sambutan Hari Kanak-Kanak dan Hari TASKA adalah Kesejahteraan Kanak-Kanak Keutamaan Semua.

“Kedua-dua tema ini berkait rapat kerana ia memastikan kesejahteraan kanak-kanak ini dapat dilindungi,” katanya.

Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan kanak-kanak sentiasa dijaga dan sentiasa memberi perhatian kepada mereka.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N. 56 Dalat berkata, berhubung Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) bertempat di Metro City Matang, ia akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 30 Oktober ini.

“Pusat tersebut menyediakan perkhidmatan diagnosis, rehabilitasi dan intervensi bagi kanak-kanak yang berkeperluan khas yang berumur tujuh tahun ke bawah,” katanya sambil menambah, ia fokus kepada kanak-kanak yang mengalami autism, sindrom down dan masalah pembelajaran.

“Untuk peringkat permulaan, OSEIC akan dikendalikan oleh Pertubuhan Ibu Bapa Kanak-Kanak Keperluan Khas (PIBAKAT),” katanya.

Sementara, Fatimah turut menyampaikan Anugerah Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) Berkualiti Sarawak 2020 kepada Tadika Astana Miri dan Tadika Krista Taman Centurion Kuching.

Kedua-dua institusi tersebut masing-masing menerima replika cek bernilai RM5,000.

17/10 Pembangunan holistik, seimbang jamin kesejahteraan kanak-kanakKUCHING: Pembangunan dan perkembangan kanak-kanak…

Posted by Jiwa Bakti on Saturday, October 17, 2020