DARO: Seramai sembilan pemilik tanah yang terlibat dalam projek cadangan pembinaan Jalan Sungai Passin-Matu

menerima pampasan berjumlah RM66,713.35.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyampaikan cek pampasan itu pada majlis yang berlangsung di Dewan Masyarakat Daro, Sabtu.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua turut menyerahkan sebanyak 231 surat hak milik tanah Seksyen 18 kepada 199 pemilik merangkumi keluasan 66.9 hektar iaitu bagi penduduk di Kampung Lemang Pek, Kampung Pangtray dan Kampung Tengah Daro.

Selain itu, beliau juga menyerahkan Warta Rezab Komunal Bumiputera Seksyen Enam melibatkan keluasan 58.06 hektar untuk penduduk di Kampung Lemang Pek Daro.

Awang Tengah dalam ucapannya berkata, pengambilan tanah bagi tujuan pelaksanaan projek pembangunan dilakukan mengikut undang-undang yang sedia ada.

Menurutnya, setiap pembayaran pampasan tanah oleh kerajaan dilakukan secara adil dan munasabah kepada pemilik tanah.

“Cek pampasan ini dibuat untuk kita bayar balik tanah yang diperlukan kerajaan bagi pelaksanaan projek rakyat.

“Kalau kita hendak baiki parit, buat jambatan, jalan raya, bangunan, kalau ia tanah milikan atau tertakluk kepada tuntutan tanah adat kita terpaksa ambil. Kita ambil bukan secara percuma, kita ambil mengikut undang-undang, kita bayar pampasan yang berpatutan,” jelasnya.

Mengenai kerja-kerja penyukatan tanah, katanya, ia telah dijalankan oleh Kerajaan Sarawak sejak tahun 1960-an.

“Sekarang, kita mahu mempercepatkan kerja -kerja penyukatan tanah, dulu sejak tahun 1960-an hingga tahun 2010 melalui kaedah lama kerja-kerja penyukatan lambat.

“Dalam tempoh 50 tahun kita cuma berjaya menyukat lebih kurang 260,000 hektar sahaja tanah NCR. Jadi dengan inisiatif baharu, kaedah baharu sejak dari tahun 2010 hingga sekarang kita berjaya menyukat lebih 900,000 hektar tanah,” ujarnya.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan tetamu lain.

17/10 Pampasan tanah dibayar secara adil, munasabah DARO: Seramai sembilan pemilik tanah yang terlibat dalam projek…

Posted by Jiwa Bakti on Saturday, October 17, 2020