Setiausaha politik Mahathir, Abu Bakar Yahya mengumumkan bahawa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mencalonkan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Pencalonan ini dibuat bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin  namun pada masa ini, ketika ini masih lagi sebagai Perdana Menteri.

Keputusan parti Pejuang dikatakan sebulat suara apabila kesemua ahli jawatan kuasa penaja parti Pejuang bersetuju mencalonkan Mahathir  termasuk  turut mendapat persetujuan anak Dr Mahathir sendiri, iaitu Datuk Seri Mukhriz yang juga adalah Presiden parti Pejuang. Lima Ahli Parlimen Pejuang termasuk Dr Mahathir juga  telah mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Tujuan parti  parti Pejuang  mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kali ketiga itu adalah untuk menyelamatkan negara. Ketika ini berlakunya krisis politik apabila Tengku Razaleigh dan beberapa ahli parlimen lain membuat usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Muhiyiddin Yassin di dewan rakyat.  Namun usul  tidak dibahaskan dan kali ini ada usaha untuk membawa usul tersebut sekali kali. 

Ketika usul Perikatan Nasional (PN) yang diterajuinya berjaya menggugurkan speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof terdapat 111  daripada 222 ahli parlimen mengundi menerima usul  Muhyiddin manakala 109 anggota parlimen menolaknya.  Hal ini membuktikan Muhiyiddin mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tetapi kelebihannya itu adalah terlalu kecil.

Kedudukan kerusi yang rapuh tersebut pula seolah-olah berlaku apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadap Yang Dipertuan Agong, mendakwa beliau mempunyai surat dari ketua-ketua parti yang dapat membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti dari ahli parlimen. Hal ini menyebabkan situasi politik bergolak kembali. 

Serpihan Bersatu

Penubuhan parti Pejuang berlaku kerana Mahathir menganggap parti Bersatu yang telah diasasnya sudah tersasar dari perjuangan asal dan tidak berpegang kepada Perlembagaan parti.  Mahathir juga mendakwa  parti Bersatu tiada beza dengan Barisan Nasional (BN) kononnya sudah tersasar daripada pejuangan. Malah Timbalan Presidennya, Datuk Marzuki Yahya turut mendakwa Bersatu yang ditubuhkan  telah mengkhianati mandat rakyat dan kembali bersekongkol dengan parti yang kalah dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

 Sebenarnya penubuhan parti Pejuang disebabkan oleh penyingkiran Mahathir sebagai pengerusi Bersatu, begitu juga Mukhriz Mahathir yang disingkirkan serta beberapa ahli parlimen yang terus menyokong Mahathir. Maka, mereka perlu wadah baru untuk bersuara dan terus kekal dalam politik tanah air. Tanpa parti politik sukar bagi mereka bergerak secara efisien dalam politik.  Mereka juga perlu isu untuk diketengahkan agar terus relevan daripada pandangan masyarakat.  Seterusnya, mereka mahu kembali berkuasa agar lebih mudah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Maka, untuk berkuasa kembali secara cepat ialah mengusulkan agar Mahathir dilantik untuk kali ke-3. Sekiranya ini dapat diterima oleh rakyat, Mahathir sekali lagi mencipta sejarah dunia, iaitu menjadi Perdana Menteri yang paling tua dalam sejarah politik dunia. Maknanya, dari segi persepsi politik di Malaysia seolah-olah tidak ada tokoh  yang paling layak di negara ini untuk  memegang jawatan Perdana Menteri.  Selagi Mahathir sihat, selagi itulah beliau layak menjadi Perdana Menteri.

Penerimaan rakyat?

Sudah tentu sukar bagi rakyat menerima idea bahawa Mahathir sekali lagi bakal perdana menteri untuk kali ketiga. Yang pertama, apabila Mahathir sendiri meletak jawatan tanpa berbincang dengan komponen Pakatan Nasional. Hal ini sebenarnya mengecewakan penyokong-penyokong parti pelbagai peringkat dalam komponen ini.  Mereka berasa kecewa apabila keputusan yang sangat penting mengenai kedudukan jawatan perdana menteri tidak dirunding terlebih dahulu dengan komponen yang ada.  Mahathir membuat keputusan bersendirian sedangkan beliau diangkat sebagai pengerusi PH oleh persetujuan bersama atau secara konsensus. 

Ia bukan sahaja mengecewakan ahli politik, akan tetapi mengecewakan rakyat yang mahukan Mahathir kekal dengan mandat rakyat, namun beliau telah  letak jawatan sendiri tanpa sebab yang boleh diterima akal yang sihat. 

Yang kedua,Mahathir dilihat tidak ikhlas bekerjasama dengan Anwar. Ternyata dalam konteks ini, Mahathir hanya menggunakan Anwar untuk mendapat kuasa kembali di Putrajaya. Selepas mendapat kuasa beliau kembali mengamalkan politik pecah dan perintah.  Pelantikan beberapa menteri khususnya dari PKR tidak dirunding dengan parti. Mahathir juga menempatkan Azmin Ali dan Zuraida dalam kedudukan strategik dalam kabinet untuk mengimbangkan pengaruh Anwar dalam politik. Sepatutnya beliau membantu menguatkan pengaruh Anwar bagi memudahkan Anwar menjadi penggantinya sebagaimana dipersetujui dalam perjanjian Pakatan Harapan. Kalaulah Mahathir boleh berbuat sedemikian kepada Anwar, bermakna Mahathir juga boleh juga  berubah-ubah sikap dan pendirian kepada mana-mana parti yang akan bekerjasama dengan dengan Mahathir. Hal ini berbahaya kepada kestabilan parti yang bekerjasama tersebut.

Yang ketiga, Mahathir sendiri seolah-olah merestukan kerjasama dengan pihak PAS dan UMNO.  Sudah beberapa kali Mahathir berjumpa dengan UMNO secara terbuka atau secara tertutup. Mahathir juga cuba menarik ahli-ahli parlimen UMNO untuk menyertai Bersatu bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai perdana menteri.  Mahathir merestukan idea  pembentukan kerajaan perikatan nasional kecuali beliau tidak mahu penerimaan secara en block kemasukan  dari UMNO bagi tujuan memudahkan beliau mengawalselia ahli-ahli parlimen dan mengukuhkan kedudukan kuasa Mahathir.  Namun akhirnya, Mahathir terperangkap dalam perangkap politik yang dibinanya, apabila cuba memusatkan kuasa kepada dirinya sendiri dengan idea  kerajaan tanpa parti. Yang bermaksud Mahathir boleh memilih mana-mana ahli parlimen atau teknokrat yang disukainya tanpa berasaskan parti. Ternyata langkah ini bertentangan dengan mandat rakyat pada pilihan raya umum ke-14 dan tindakan untuk menjadikan beliau lebih berkuasa. Namun percubaan ini gagal dan ditolak oleh parti sekutu Mahathir sendiri dan BN juga menolak idea ini.. 

Yang keempat, Mahathir tidak mendengar sentimen rakyat ketika berkuasa. Walaupun rakyat inginkan Mahathir berubah dari segi sikap berpolitik, namun ternyata Mahathir mempunyai sikap politik yang sukar berubah. Apabila rakyat mendesak agar melakukan rombakan kabinet, Mahathir seolah-olah sengaja tidak memberikan respon menyeluruh, seolah-olah mahu rakyat marah terhadap pentadbiran kerajaan PH. Beliau masih dengan idea lama masih terikat dengan nostalgia politik apabila cuba menghidupkan idea mewujudkan kereta nasional ketiga yang tidak ada dalam manifesto pakatan harapan. Sedangkan banyak keutamaan lain dalam manifesto diketepikan sehingga beliau mengatakan bahawa manifesto bukanlah kitab suci yang perlu perlu dipegang. Jelas, sikap Mahathir yang sengaja memancing kemarahan rakyat seolah-olah membuka laluan  untuk kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. Pengundi Cina yang menyokong penuh kerajaan Pakatan Harapan juga banyak melahirkan rasa kekecewaan terhadap kepimpinan Mahathir yang bertentangan dengan hasrat mereka menyokong penubuhan kerajaan PH

Justeru, sudah pasti idea menjadikan Mahathir sebagai Perdana Menteri kali ketiga merupakan idea daripada penyokong tegar Mahathir sendiri yang ingin mahukan Mahathir kembali berkuasa. Namun, penyokong Mahathir sendiri seperti Syed Sadiq kini dilihat mulai menjauhi daripada parti Pejuang dan menubuhkan parti sendiri, iaitu parti Muda. Apabila menubuhkan parti baru yang lain jelas, Syed Sadiq tidak bersetuju dengan penubuhan parti Pejuang. Begitu juga Maszlee Malik yang dikatakan mengemukakan surat akuan berkenan (SD) yang menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim. Sudah pasti ini menjadi tamparan kepada kepimpinan Mahathir yang memperlihatkan penyokong terdekatnya sudah mulai menjauhi dan mulai berasa bahawa kerelevanan Mahathir dalam politik semakin pudar, walaupun tetap mengakui Mahathir tetap merupakan Negarawan pada suatu ketika dahulu. 

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.