LAPORAN HARIAN

Hari ini lima (5) kes positif COVID-19 dikesan di Sarawak. Kesemua kes ini dikesan di Daerah Kuching. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 768 kes.

Kes baharu COVID-19 (5 Kes Jangkitan Tempatan)

Hari ini terdapat lima (5) kes baharu COVID-19 dikesan di Daerah Kuching.

i) Kes Melibatkan Kluster Bah Arnab (4 Kes Baharu).

Empat (4) kes adalah kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang dikesan melalui saringan kali kedua iaitu pada hari Ke-10 semasa kontak-kontak ini di dalam arahan kuarantin 14 hari. Indeks kes kepada kes-kes ini adalah kes Ke-719 iaitu seorang warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 (Sabah) sebelum disaring dan didapati positif COVID-19 pada 6 Oktober 2020. Mereka juga adalah kontak rapat kepada kes Ke-730 yang juga telah mendapat jangkitan daripada Kes-719.

Ringkasan kes-kes baharu ini adalah seperti berikut:

Kes Ke-764 : Seorang kanak-kanak lelaki warganegara tempatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

Kes Ke-765 : Seorang kanak-kanak perempuan warganegara tempatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

Kes Ke-766 : Seorang kanak-kanak perempuan warganegara tempatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

Kes Ke-767 : Seorang kanak-kanak perempuan warganegara tempatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

Kesemua kes ini adalah kanak-kanak dalam lingkungan umur 7 hingga 13 tahun dan merupakan adik beradik iaitu anak kepada kes Ke-719 dengan kes Ke-730.

Masa pendedahan kes-kes ini adalah diantara 2 hingga 6 Oktober 2020 semasa Kes Ke-719 menjalani kuarantin di rumah. Saringan ujian rT-PCR pertama telah dijalankan pada 6 Oktober dan keempat-empat kes ini telah didapati negatif COVID-19 pada 8 Oktober 2020. Mereka ini telah dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani baki arahan kuarantin 14 hari selepas terdapat tiga (3) kes baharu dikesan pada saringan pertama pada 08 Oktober 2020.

Kes-kes ini telah disaring kali kedua pada 16 Oktober 2020 dan keputusan ujian rT-PCR mereka didapati positif pada hari ini. Kesemua kes ini tidak menunjukkan tanda dan gejala jangkitan COVID-19 dan mereka telah pun dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Kes Saringan Bergejala (1 Kes Jangkitan Tempatan).

Kes Ke-768 merupakan seorang lelaki warganegara tempatan yang bekerja sebagai juruteknik swasta di sebuah Hospital Kerajaan di Kuching. Kes telah mengalami demam dan selsema pada 15 Oktober 2020 dan telah menjalani saringan COVID-19 di sebuah klinik kerajaan pada 16 Oktober 2020. Keputusan ujian rT-PCR kes ini telah didapati positif pada 17 Oktober 2010. Kes dikesan melalui aktiviti saringan individu yang bergejala.

Kes ini tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau melawat kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19. Kes juga tidak mempunyai kontak kepada kes positif COVId-19. Kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Kes ini masih dalam siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar jangkitan. Pengesanan kontak kepada kes ini juga sedang giat dijalankan. Sehingga punca jangkitan kes ini diketahui, kes ini akan dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan berdasarkan sejarah awal pergerakan kes.

Kluster COVID-19 yang masih aktif.

Hari ini, tiada kluster baharu yang telah dikesan. Walau bagaimanapun terdapat dua (2) kluster yang masih aktif di Sarawak. Kluster-kluster yang masih aktif adalah seperti berikut:

Kluster Bah Arnab di Daerah Kuching.

Sehingga 18 Oktober 2020, jam 12:00 tengah hari, terdapat penambahan empat (4) baharu dikesan melibatkan kontak rapat kepada kes indeks kepada kluster ini. Kes-kes ini dikesan melalui saringan kali kedua iaitu pada hari Ke-10 semasa kontak-kontak ini masih berada di dalam arahan kuarantin di pusat kuarantin. Kesemua kes ini adalah ahli keluarga (anak) kepada kes indeks di dalam kluster ini iaitu kes Ke-719 dengan kes Ke-730.

Sejumlah 40 individu telah disaring, dimana:

Dua belas (12) kes dikesan positif COVID-19 dimana lapan (8) kes telah dikesan melalui saringan kali kedua pada hari ke-10 dan 28 individu negatif.

Kluster Putra di Daerah Bintulu.

Tiada penambahan kes baharu positif COVID-19 dikesan atau dilaporkan melibatkan kluster ini. Jumlah kes positif melibatkan kluster ini kekal seramai enam (6) orang termasuk kes indeks. Satu (1) kes positif COVID-19 telah dikesan dan didaftarkan di Negeri Selangor.

Sehingga 17 Oktober 2020, jam 12:00 tengah hari, sejumlah 190 individu telah disaring, dimana:

Enam (6) kes dikesan positif COVID-19, 183 individu negatif;

Seramai 79 individu telah disaring untuk kali kedua (Hari Ke-10) di mana kesemua 79 individu tersebut telah didapati negatif.

Status Kes COVID-19 Di Dalam Wad Pengasingan Hospital. Dimaklumkan juga bahawa terdapat satu (1) kes baru yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini. Kes baru yang telah pulih dan dibenarkan discaj ini adalah dari Hospital Sibu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes postif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 701 orang atau 91.28% dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.

Jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 48 orang iaitu 32 kes di wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak, lapan (8) kes di Hospital Miri, tujuh (7) kes Hospital Bintulu dan satu (1) orang di Hospital Sibu.

Tiada kes COVID-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari ini. TIADA (0) kes kematian baharu dilaporkan pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kematian adalah kekal seramai 19 orang atau 2.47%.

Hari ini sepuluh (10) PUI baru telah dilaporkan dan dua (2) PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

D. Ringkasan Kes Mengikut Daerah Di Sarawak.

Hari ini, Daerah Kuching, Sibu, Bintulu dan Lubok Antu kekal berstatus Kuning dan dengan penambahan lima (5) kes baharu di Daerah Kuching. Ini menjadikan jumlah keseluruhan seramai 22 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Jumlah daerah yang berstatus Kuning adalah kekal empat (4) buah daerah dan 36 buah daerah yang lain di Sarawak kekal berada dalam status Hijau.

LAPORAN NOTIS TANGKAPAN / KOMPAUN / AMARAN / SITAAN Hari ini pihak PDRM telah membuat empat (4) tangkapan. Tangkapan pertama iaitu seorang lelaki yang telah diarahkan kuarantin dirumah di Bintulu. Lelaki tersebut telah ditangkap dan diarah meneruskan kuarantin di rumah. Manakala tiga (3) orang lelaki ditangkap kerana mabuk dan berkelakuan tidak senonoh di balai Polis Lawas.

Pihak PDRM juga telah mengeluarkan 34 kompaun di Daerah Kuching (14), Miri (12), Mukah (7) dan Kota Samarahan (1).

Manakala pihak Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak telah mengeluarkan 63 amaran lisan, bertulis dan sitaan di kawasan seliaan SMC (23), DBKU (14), BDA (8), MD Serian (5), MDMJ (5), MD Marudi (5) dan MBKS (3).

PEMANTAUAN PEMATUHAN PKPP (01 SEPTEMBER HINGGA 31 DISEMBER 2020)

Hari ini sebanyak 1,566 premis telah dipantau iaitu Pasaraya (223), Restoran (314), Kilang (11), Bank (117), Pejabat Kerajaan (52), Penjaja (36), Pasar Tani/Awam (62), Tempat Ibadah (57), Tempat Riadah (38), Tapak Pembinaan (16) dan lain-lain (640).

Seramai 557 anggota pematuhan PKPP yang terdiri daripada PDRM (279), ATM (34), RELA (129), APM (82), PBT (27), KKM (2) dan lain-lain agensi (4).

4. SEKATAN JALAN RAYA OP BENTENG

Hari ini terdapat 6 sekatan jalan raya di 5 buah daerah iaitu di Lundu (2), Bau (1), Serian (1), Sri Aman (1) dan Lubok Antu (1). Melalui 6 sekatan jalan raya tersebut, sebanyak 1,095 jumlah kenderaan telah diperiksa.

Stay Vigilant, Stay Safe, Stay Healthy, Save Lives Jaga Sarawak Intu Sarawak

SEKRETARIAT

JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA NEGERI SARAWAK