KUCHING: Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengakui keselamatan rakyat penting namun Sarawak memerlukan kerajaan yang baik demi masa depan rakyat dan pembangunan negeri ini ketika ia berdepan dengan Covid-19.

Menurut Ketua Menteri, Pilihan Raya Negeri ke-12 akan tetap diadakan sebelum tempoh Dewan Undangan Negeri DUN ke-11 berakhir April 2021.

Tempoh DUN Sarawak akan tamat Jun tahun depan.

Katanya Covid-19 19  tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri apabila tiba masanya.

Menurut Abang Johari terdapat cadangan agar pilihan raya negeri tidak diadakan sewaktu pandemik Covid-19, namun katanya,  DUN perlu dibubarkan apabila tempohnya tamat untuk membolehkan pilihan raya diadakan.

Menurutnya jika PRN-12 tidak akan diadakan sebelum tamat tempoh penggal DUN ketika ini, kerajaan dengan sendirinya akan hilang mandat.

“Pilihan raya perlu diadakan. Kita mesti mengadakan pilihan raya ini, mahu atau tidak kerana dalam tempoh lima hingga enam bulan lagi tempoh DUN sekarang akan tamat dan kita  tidak ada lagi mandat untuk memerintah,” jelas beliau yang juga Pengerusi GPS.

Justeru, katanya, kita harus menyerahkan semula kepada kuasa rakyat untuk menentukan kerajaan.

Menurut beliau, Sarawak hendaklah terus diperintah oleh orang Sarawak, dan bukannya oleh orang luar atau parti politik dari luar.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan penutupan Konvensyen Khas Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Dewan Sa’ati Ibu Pejabat parti itu di sini hari ini.

Jelasnya, sekiranya PRN-12 diadakan, pengurusan Covid-19 perlu ditangani dengan sebaik mungkin.

Jelasnya, antara  langkah yang dapat diambil adalah menyekat kemasukan orang luar ke Sarawak ketika tempoh pilihan raya bagi mengurangkan penularan Covid-19.

Peningkatan kes Covid-19 di negara ini ketika ini dilaporkan berpunca daripada PRN Sabah.

Kata Abang Johari lagi, GPS akan sentiasa mengutamakan rakyat Sarawak dan kestabilan politik  bagi memastikan negeri ini menjadikan negeri maju pada 2030.