KUCHING: Agensi kerajaan disarankan lebih sensitif terhadap aduan masyarakat terutama berkaitan projek yang mengalami kelewatan, kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi.

Menurut beliau, sekiranya aduan tersebut dipandang remeh, ia memberi kesan buruk kepada Kerajaan Sarawak dan wakil rakyat di kawasan terlibat.

“Jangkaan masyarakat terhadap sesuatu projek amat tinggi, jika dahulu mereka menerima apa yang diberikan tetapi, kini ia berubah terutama dengan adanya penggunaan media sosial.

“Ini menjadi satu cabaran kepada kita terutama agensi dan kontraktor pelaksana projek.

“Sudah tiba masanya untuk kita lebih sensitif kepada keperluan dan aduan yang diterima daripada masyarakat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Bengkel Pentadbiran Kecemerlangan Ke Arah Penyampaian Projek Kerajaan Sarawak di sini baru-baru ini.

Julaihi juga menggesa agar kelewatan dalam projek Kerajaan Sarawak dikurangkan pada masa akan datang.

“Saya berharap agar semua perkara yang dibangkitkan dalam bengkel ini dapat diambil serius. “Kita cuba untuk mengurangkan masalah kelewatan projek pada masa hadapan tidak kira sama ada projek tersebut kecil, sederhana atau besar,” jelasnya yang juga Adun Sebuyau.

Julaihi menambah, walaupun berhadapan pelbagai cabaran di setiap peringkat pelaksanaan projek, sesetangah isu perlu ditangani di peringkat prakontrak.

“Ketika pemilihan kontraktor untuk projek, kita perlu memastikan pilihan tersebut tepat dan mempunyai kekuatan dari segi kewangan.

“Ini kerana dalam beberapa masalah yang dibangkitkan terdapat kelewatan kerana kontraktor yang telah dipilih terpaksa menunggu kelulusan dari segi kewangan pula,” ujarnya.