DARO: Lebih banyak lagi program dan latihan akan disediakan kepada golongan suri rumah yang berkecimpung dalam bidang keusahawan sebagai usaha membantu mereka berjaya sekali menjana pendapatan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dalam pelbagai bidang seperti kraftangan, masakan dan sebagainya.

“Insyaallah, kita akan berusaha memperbanyakkan perkara-perkara berkaitan dengan keusahawanan.

“Kita akan mengadakan program bersama Kementerian Keusahawanan dengan kerjasama SEDC dalam masa empat atau lima bulan ini yang berkaitan pelbagai bidang seperti kraftangan,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa Penutupan Bengkel Kraftangan Anyaman Buluh/Anyaman Bakul Kelas Pendidikan Leterasi Fungsian Kampung Pangtray dan Kampung Lemang Pek, Daro pada Jumaat.

Katanya, peserta bengkel juga diseru agar tidak berputus asa dalam bidang keusahawanan walaupun berdepan pelbagai cabaran masa kini seperti penularan wabak COVID-19.

Beliau juga menyatakan supaya dapat membuka sebuah laman JKKK di Facebook untuk satu saluran pemasaran dalam talian mengenai produk yang dihasilkan oleh penduduk di kampung berkenaan.

Tegasnya, perniagaan secara online merupakan satu platform yang baik untuk usahawan memasarkan produk yang mereka hasilkan.

Safiee turut mengumumkan kelulusan geran MRP sebanyak RM9,00 kepada tiga buah kelas yang terlibat.

Dalam majlis berasingan, Safiee berkata Program Gerak Tangkas Silat Warisan Melanau Daro (SIWADA) amat baik untuk membentuk jati diri anak-anak muda di kawasan tersebut.

Katanya, selain meningkatkan tahap disiplin diri, penyertaan dalam program itu juga dapat memajukan diri mereka yang terlibat.

Beliau turut memuji kumpulan tersebut yang aktif membuat persembahan di mana-mana aktiviti dan program dilaksanakan dengan baru-baru ini beraksi di hadapan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari di satu program di Daro.

Sebagai tanda sokongan, Safiee telah menawarkan dirinya sebagai Penaung terhadap kelab tersebut demi kebaikan dan manfaat para belia khususnya di kawasan itu.

Beliau turut menyumbangkan geran RM5,000 kepada kelab tersebut termasuk sumbangan sebanyak RM3,000 dari Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

Lebih banyak program latihan disediakan kepada usahawan wanitaDARO: Lebih banyak lagi program dan latihan akan…

Posted by Unit Komunikasi Awam Sarawak-UKAS on Friday, October 16, 2020