KUALA LUMPUR: Setiausaha Kerja UMNO Malaysia Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, Pejabat Presiden UMNO tidak pernah mengeluarkan surat yang tular di media sosial berkenaan sokongan Presiden UMNO kepada salah seorang pemimpin parti pembangkang sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Menurut beliau, penyebaran surat rasmi berkenaan sangat melampau dan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan dan berniat jahat bertujuan untuk merosakkan imej Presiden UMNO.

“Di sini saya ingin menegaskan bahawa Pejabat Presiden UMNO tidak pernah mengeluarkan surat ini.

“Saya dan pegawai pejabat Presiden yang selalu bertanggungjawab menyediakan segala surat menyurat dan juga ‘letter head’ tidak pernah dikeluarkan tanpa nombor rujukan,” kata beliau menerusi satu kenyataan media.

Tegasnya penyebaran surat rasmi berkenaan sangat melampau dan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan dan berniat jahat bertujuan untuk merosakkan imej Presiden UMNO.

Kenyataan ini dibuat berikutan surat yang tular kononnya UMNO menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-9.

Surat tersebut yang didakwa diserahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong menyebut Presiden bersama Ahli Parlimen UMNO memberi kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada Anwar bagi menggantikan Perdana Menteri sedia ada.