SERIAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana sebanyak RM265 juta bagi Program Dana Kemudahan Pertanian (AFF).

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setiap wakil rakyat telah diperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan kursus, bengkel serta bantuan input pertanian.

Menurutnya, inisiatif tersebut adalah selari dengan matlamat kerajaan untuk menjadi negeri pengeluar dan pengeksport makanan berasaskan produk pertanian menjelang tahun 2030.

“Matlamat dan objektif kerajaan negeri kini adalah memastikan rakyat bersama menyokong program-program pertanian yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

“Sokongan rakyat diperlukan bagi memastikan mereka bergerak seiring dengan wawasan kerajaan negeri,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penangguhan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) bagi DUN Kedup di Kampung Bunan Gega semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kedup) Martin Ben, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Edwin Abin, Residen Bahagian Serian, Tuah Suni dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Dr Adrian Susin Ambud.

Sementara itu, beliau menekankan, untuk maju dalam bidang pertanian, perladangan dan penternakan, rakyat harus mengadaptasikan teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan.