KUCHING:  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini memaklumkan tiada kluster baharu yang dikesan hari ini, namun terdapat dua kluster iaitu Kluster Bah Arnab di Kuching dan Kluster Putra di Daerah Bintulu masih aktif.

Katanya dalam satu kenyataan, terdapat empat kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini. 

“Semua kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj ini adalah dari HUS. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 700 orang atau 91.74 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak,” katanya.

Jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah 44 orang iaitu 27 kes di wad pengasingan di HUS, lapan kes di Hospital Miri, tujuh kes Hospital Bintulu dan dua kes di Hospital Sibu.

“Tiada kes Covid-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari ini. Tiada kes kematian baharu dilaporkan pada hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kematian adalah kekal seramai 19 orang atau 2.49 peratus,” katanya. lagi

Hari ini juga, menurut JPBNS, tujuh orang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan satu PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Manakala 162 orang di bawah pengawasan (PUS) mendaftar masuk untuk menjalani kuarantin di 23 buah hotel di seluruh Sarawak. 

Empat daerah iaitu Kuching, Sibu, Bintulu dan Lubok Antu kekal berstatus Kuning manakala 36 daerah lain di Sarawak kekal berstatus Hijau.