KUCHING: Sarawak mencatatkan empat kes positif Covid-19 hari ini, dengan kesemua kes dikesan di Daerah Kuching sekali gus menjadikan keseluruhan kes 763 setakat ini.

Menurut  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kesemua kes ini adalah kontak rapat kepada kes positif Covid- 19 yang dikesan melalui saringan kali kedua iaitu pada hari Ke-10 semasa kontak-kontak ini di dalam arahan kuarantin 14 hari. 

“Indeks kes kepada kes-kes ini adalah kes Ke-719 iaitu seorang warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 (Sabah) sebelum disaring dan didapati positif COVID-19 pada 6 Oktober 2020,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

JPBNS berkata, keempat-empat kes itu terdiri daripada kes ke-760, kes ke-761, kes ke-762 dan kes ke-763 yang masing-masing mempunyai kontak rapat kepada kes positif Covid-19.

Menurutnya lagi, kes ke-760 melibatkan lelaki warganegara tempatan, kes Ke-761 (kanak-kanak lelaki warganegara tempatan), kes Ke-762 (wanita warganegara tempatan) dan kes Ke-763  melibatkan kanak-kanak lelaki warganegara tempatan. 

Jelasnya, masa pendedahan kes-kes ini adalah antara 2 hingga 6 Oktober 2020 semasa Kes Ke-719 menjalani kuarantin di rumah. Saringan ujian rT-PCR pertama telah dijalankan pada 6 Oktober dan keempat-empat kes ini telah didapati negatif COVID-19 pada 8 Oktober lalu. 

“Mereka ini telah dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani baki arahan kuarantin 14 hari selepas terdapat tiga kes baharu dikesan pada saringan pertama pada 8 Oktober 2020. Kes-kes ini telah disaring kali kedua pada 16 Oktober 2020 dan keputusan ujian rT-PCR mereka didapati positif pada hari ini,” katanya.

Katanyanya, kesemua kes ini tidak menunjukkan tanda dan gejala jangkitan Covid-19 dan mereka telah pun dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.