KUCHING:  Ahli politik tidak kira blok kerajaan atau pembangkang perlu mendahului kepentingan rakyat, bukannya mengutamakan nafsu sendiri, kata Presiden PDP datuk Seri Tiong King Sing.

Katanya, ahli politik perlu mengetepikan agenda peribadi dan mementingkan kemasyhuran ketika negara berdepan dengan ancaman Covid-19.

Kenyataan itu dibuat di sebalik tindakan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai jumlah ahli parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Ahli parlimen Port Dickson itu telah diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 14 Oktober lalu.

“Masyarakat antarabangsa pada ketika ini tidak melihat situasi politik di negara ini secara positif kerana keadaan ini tidak pernah berlaku dalam tempoh 60 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

“Politik yang keterlaluan akan mencetuskan kemarahan rakyat ketika negara berhadapan Covid-q9,” jelasnya.

Tiong yang juga duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China menekankan, kerajaan dan pembangkang perlu memainkan peranan menyelamatkan ekonomi negara bagi memastikan rakyat tidak kebuluran.

“Pemimpin perlu membincangkan strategi dan meyakinkan masyarakat bahawa masih ada prospek ekonomi yang baik pada saat yang sukar ini,” tegasnya.

Oleh itu, ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bintulu, sangat penting untuk semua pihak menghentikan usaha berebut kuasa semata-mata untuk menjadi Perdana Menteri. ]

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati semua rakyat khususnya ahli politik untuk bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka memberi ingatan itu kerana negara masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman pandemik COVID-19.

Al-Sultan Abdullah juga mengulangi titah nasihat kepada ahli-ahli Parlimen supaya mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh-kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat, yang dititahkan semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Mei lepas.

Ahmad Fadil dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara semalam, berkata Seri Paduka turut menegaskan bahawa ahli-ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan.