SAMARAHAN: Agensi dan badan bukan kerajaan dialukan untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar terutamanya golongan yang memerlukan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dalam keadaan berdepan dengan kesan pandemik COVID-19, pelajar khususnya di luar bandar memerlukan sokongan dan bantuan sedemikian.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Bantuan Awal Pengajian Untuk Pelajar UiTM Cawangan Sarawak di Kota Samarahan, semalam.

Tambahnya, insiatif Yayasan Bank Rakyat (YBR) yang memperuntukkan RM500,000 kepada 500 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak melalui Bantuan Awal Pengajian adalah satu langkah yang terbaik dan menjadi contoh kepada pihak lain.

Sementara itu, penyerahan Bantuan Awal Pengajian seterusnya akan diberikan kepada 1,500 orang pelajar UiTM yang terpilih di Semenanjung Malaysia.

Turut hadir Rektor UiTM Sarawak, Profesor Dato Dr. Jamil Hamali, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin dan Pemangku Pengurus Besar Bank Rakyat, Mohd Fauzi Md Fadzil.