KOTA SAMARAHAN: Bantuan Unimas Prihatin untuk pelajar asnaf dan dari kumpulan B40 disediakan dalam bentuk bantuan komputer riba serta wang tunai bagi membiayai pelan data Internet selama tiga bulan.

Unimas dalam kenyataan semalam berkata, pelajar tersebut telah disenarai pendek berdasarkan beberapa kriteria.

Menurut kenyataan itu, seramai 77 pelajar prasiswazah lama dan baharu akan menerima bantuan itu bagi memudahkan sesi pembelajaran dari rumah yang diteruskan hingga Disember depan.

“Sumber bantuan ini daripada zakat korporat dan endowmen daripada pihak luar serta orang ramai.

“Bantuan komputer riba dan pelan Internet berjumlah RM167,290 ini akan diagihkan secara berperingkat-peringkat, memandangkan sebahagian daripada pelajar yang terlibat berada di zon merah dan sedang dalam tempoh PKPD/PKPB khususnya di Sabah dan Semenanjung,” kata kenyataan itu.

Jelasnya, ujian besar pendemik Covid-19 memberi kesan kewangan kepada keluarga pelajar berpendapatan rendah.

Sehubungan itu, Unimas prihatin dengan situasi terkini pelajar yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembelajaran secara dalam talian dari kediaman masing-masing disebabkan ketiadaan kemudahan seperti komputer peribadi dan Internet.

“Diharapkan bantuan ini akan menjadi penyuntik semangat kepada pelajar untuk lebih berjaya dengan cemerlang serta boleh membantu adik-adik yang lain di kampus Unimas ini pada masa hadapan kelak.

“Terima kasih kepada semua para penderma Tabung Endowmen dan Wakaf Unimas,” tambahnya. Acara ini telah disempurnakan dalam Majlis Pelancaran Rasmi Unimas Inspiring Learning Spaces di CTF3 Unimas.

Permasmian disempurnakan oleh Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, sekali gus menyampaikan Bantuan Unimas Prihatin ini kepada tiga wakil pelajar yang hadir ke kampus Unimas.

Manakala selebihnya akan diserahkan di daerah kediaman masing-masing. Kepada sesiapa yang ingin merebut peluang berkongsi rezeki kepada lebih ramai golongan yang memerlukan, hubungi Ketua Bahagian Endowmen dan Wakaf Unimas di talian 082 581231.