PADAWAN: Sepuluh premis di Batu Kawa, Baratok dan Siburan yang disyaki terlibat sebagai pusat perjudian dalam talian dipotong bekalan elektrik, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan menerusi satu kenyataan menegaskan tindakan itu antara bukti operasi judi oleh polis tidak akan dihentikan.

Katanya, pemotongan elektrik tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Padawan bersama dua kakitangan Syarikat Sesco Bhd.

“Polis akan terus-menerus menjalankan operasi seperti ini bagi menghapuskan aktiviti perjudian yang menyalahi undang-undang.

“Justeru, tindakan pemotongan elektrik ini dilakukan di bawah Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya.

Sementara itu Aidil menambah, masyarakat diseru untuk membantu dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan judi haram mahupun dadah kepada polis.

Ujarnya, sebarang maklumat berkaitan jenayah yang berlaku di Padawan boleh disalurkan menerusi Bilik Gerakan 24 jam di talian 082-862233.