KUCHING: Bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini, operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa dijalankan  di beberapa tapak pembinaan di sekitar Hospital Umum Sarawak di sini semalam.

Dalam operasi bersepadu itu 25 pendatang asing tanpa izin ditahan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan memaklumkan operasi yang bermula pada pukul 3 petang itu dilakukan setelah dua kes positif Covid-19 dikesan melibatkan pendatang tanpa izin, semalam.

“Semua pekerja menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin. JPBNS dan agensinya telah mengambil tindakan pantas untuk menyiasat dan memeriksa premis-premis terlibat bagi mengawal penularan wabak berkenaan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebanyak 150 petugas dari JPBN, Jabatan Kesihatan Negeri, polis, imigresen dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terbabit dalam operasi itu.

“Pihak yang melanggar undang-undang dan prosedur operasi standard akan disiasat,” katanya lagi.

Sementara itu, 176 pekerja di tapak pembinaan HUS dan 81 lagi melibatkan kakitangan kontraktor disaring dalam operasi pengesanan kontak rapat kes Covid-19