KUCHING: Kekurangan tenaga kerja asing dalam sektor pembinaan merupakan antara punca kelewatan beberapa projek, terutamanya projek mega di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, walaupun Sarawak memerlukan lebih ramai pekerja asing dalam sektor pembinaan, namun ia bukan masalah untuk melaksanakan projek kepada rakyat di negeri ini.

“Susulan penularan Covid19, kita berhenti seketika dalam pengambilan pekerja asing kerana hanya dengan cara itu kita dapat mengawal penularan wabak ini.

“Ia merupakan satu masalah kepada kita, tetapi pada masa yang sama ia juga satu kebaikan untuk kita mengawal penularan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Bengkel Pentadbiran Kontrak Penyampaian Kecemerlangan Projek untuk Projek Kerajaan Sarawak di Hotel UCSI di sini, pada Selasa.

Menurut beliau, ia memerlukan sedikit pengorbanan dalam kelewatan pelaksanaan beberapa projek di negeri ini demi keselamatan rakyat.

“Disebabkan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan agensi kerajaan agak bertolak ansur kepada pihak kontraktor yang mengendalikan projek berkenaan.

“Saya faham pelaksanaan projek sedikit tergendala, tetapi saya yakin kita dapat mengatasi masalah ini kerana Sarawak mempunyai Majlis Tindakan Ekonomi (SEAC) untuk merangsang ekonomi pasca-Covid-19,” jelasnya yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan.

Sementara itu, Pengarah JKR Sarawak, Datuk Zuraimi Sabki berkata, kebiasaannya projek mega seperti pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo paling terjejas kerana ia memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Seperti yang anda sedia maklum, pelaksanaan Pan Borneo agak terjejas kerana isu ini. Projek yang lain turut terjejas tetapi tidak seperti projek mega.

“Ia memerlukan sekurangkurangnya 70 peratus tenaga kerja, bergantung kepada pakej kerja itu sendiri,” ujarnya.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosioekonomi) Datuk Seri Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak Datuk Dr Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Safri Zainudin dan wakil agensi yang lain.