Jumlah kumulatif kes positif global Covid-19  sejak virus maut itu menular di Wuhan, China akhir tahun lalu kini mencecah 38.72 juta kes.

Ini berikutan lebih ratusan ribu jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kematian di seluruh dunia pula ialah 1.09 juta.

Data terbaharu Worldometers menunjukkan Amerika Syarikat terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 8.14 juta kes jangkitan.

Negara Uncle Sam itu juga tertinggi dari segi kematian dengan hampir 222,000 kes.

Ini diikuti India dengan 7.30 juta kes dengan 111,311 kematian, manakala Brazil merekodkan 5.14  juta kes dengan lebih 151,000 kematian.

Jangkitan Covid-19 di Rusia yang berada di tangga keempat dunia pula mencatat angka 1.34 juta kes dengan 23,205 kematian.

Sepanyol berada di tangga keempat dengan 937,311 kes jangkitan dengan lebih 33,000 kes kematian.

Sementara itu, Colombia, Argentina,  Peru dan Mexico  dalam lingkungan lebih 800,000 hingga hampir sejuta kes.