BEIJING: Seorang lelaki berusia 45 tahun dikatakan mengalami serangan jantung selepas gagal membantu anaknya menyelesaikan kerja rumahnya. Lelaki yang dikenali sebagai Liu itu mengajar dan membantu anaknya membuat kerja rumah bermula sebulan lalu.

Anaknya yang berada dalam Tahun 3 itu lemah dalam subjek Matematik. Sejak dua minggu lepas setiap kali dia berasa marah dan geram dengan anaknya, dia akan berasa sakit di bahagian dadanya.

Namun keadaan menjadi lebih teruk pada satu hari apabila anaknya gagal menjawab satu soalan yang diaju kepadanya tiga kali.

Pada satu ketika sakit di bahagian dadanya semakin teruk sehingga dia mengalami kesukaran bernafas dan terus pengsan.

Apabila dia sedar dari pengsan dia terus mendapat rawatan di Hospital Rakyat Shenzhen dan doktor memberitahunya dia mengalami serangan jantung.

Ketika di hospital itu dia pengsan sekali lagi dan badannya pula kejang dan mulutnya berbuih.

Jururawat dan doktor berjaya menstabilkannya dan dia menjalani ujian susulan untuk mencari punca penyakitnya. Hasilnya doktor mendapati sebahagian daripada arteri koronari utama Liu tersumbat dan menjejaskan perjalanan darah ke jantungnya.

Selain menjadi perokok tegar, salah satu penyebab utama serangan jantungnya kali ini adalah kerana tertekan dan marah dengan anaknya yang gagal menjawab soalan Matematiknya.

Liu menjalani pembedahan kecemasan dan kini dalam keadaan stabil.