KUCHING: Sarawak perlu meraih pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lapan peratus setahun dan ia tidak boleh berada dalam lingkungan lima peratus seperti sekarang, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, dalam mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030, Kerajaan Sarawak tetap memberikan tumpuan menerusi strategi Ekonomi Pasca-Covid-19 dan Agenda Pembangunan 2030 yang dirangka Kerajaan Negeri.

“Walaupun kadar ini agak tinggi, kita perlu melakukan strategi lompatan dan memberi tumpuan kepada sektor utama dengan menggandakan KDNK, daripada RM133 bilion setahun kepada RM282 bilion menjelang 2030.

“Untuk itu, pada 6 Mei lalu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (SEAC), khususnya dalam memacu dan merangka strategi pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 sehingga 2030,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Mengenai strategi Ekonomi PascaCovid-19 dan Agenda Pembangunan 2030, strategi yang dirangka adalah berteraskan tiga tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi, masyarakat inklusif dan kelestarian alam sekitar.

Beliau menambah bahawa SEAC juga mengkaji dan menilai cadangan daripada semua pihak agar setiap perancangan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di Sarawak, selain dapat memperincikan lagi perancangan yang lebih sesuai untuk Rancangan Malaysia Ke-12 nanti.

“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak, strategi ini akan dapat membuahkan hasil dan memberikan daya tahan ke atas ekonomi negeri, terutama dalam situasi yang sangat mencabar ini,” katanya.