BUCHAREST: Selepas memberi sokongan padu kepada Ion Aliman sehingga membolehkannya mempertahankan jawatannya sebagai Datuk Bandar, ratusan penduduk kampung Deveselu berarak beramai-ramai ke pusaranya untuk memasang lilin sebagai memberi penghormatan kepadanya.

Perlantikan semula Aliman ini bererti beliau sudah menyandang jawatan itu selama tiga penggal biarpun Aliman sebenarnya sudah meninggal dunia kira-kira 10 hari sebelum pilihan raya perbandaran di adakan di negara itu.

Namanya bagaimanapun tidak sempat dikeluarkan daripada senarai calon yang bertanding biarpun berita kematiannya sudah tersebar luas di kampung tersebut yang dihuni lebih 3,000 orang itu.

Jika Aliman masih hidup, dia juga sepatutnya meraikan hari jadinya yang ke-57 pada hari pilihan raya diadakan.

Bagi memberi penghormatan kepada pemimpin yang dikagumi dan disayangi mereka, ratusan penduduk Deveselu turun ke pusat mengundi dan mengundinya.

Selepas berita kemenangannya diumumkan, mereka berkunjung ke pusaranya untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya.