JUJUR, sabar, cekal dan tidak dengki dengan orang lain, menjadi pegangan hidup seorang warga emas, Eyong Bogo, 74, dari Kampung Serpan Laut, Asajaya, Kota Samarahan.

Sebagai nelayan, Eyong Bogo bergantung kepada sungai dan laut sebagai sumber rezeki untuk menyara isteri dan lapan orang anaknya hingga berjaya.

Beliau merupakan pakar membubu ikan sembilang. Ia hanyalah sekelumit kisah masyarakat kampung di Sarawak yang dipaparkan TVS melalui segmen Rezeki Air.

TVS mula bersiaran Sabtu lalu di saluran 122 Astro. Yang pasti, TVS akan menyiarkan lebih banyak lagi kisah menarik selepas ini.

Tanpa TVS, tentunya banyak cerita menarik di tempat kita akan lenyap begitu sahaja, ditelan arus peredaran masa.

Di sinilah peranan dan sumbangan TVS, membongkar rahsia alam dan kehidupan manusia di negeri yang hampir seluas Semenanjung Malaysia, untuk dikongsi bersama, bukan sahaja untuk masyarakat tempatan di sini, tetapi juga di seluruh Malaysia, malah ke serata dunia.

Ia bukan sahaja memberi gambaran tentang kehidupan, tetapi juga sebagai rangsangan, dan sumber inspirasi generasi kini, betapa kehidupan yang sukar bukan penghalang untuk menyara keluarga hingga berjaya.

Asalkan ada kegigihan, kecekalan, kejujuran dan kemahuan, di situ ada jalan. Kewujudan TVS pasti akan menyerikan lagi dunia penyiaran di Malaysia dan peringkat global.

Ia adalah satu nilai tambah terhadap media penyiaran sedia ada. Namun berbekalkan kandungan program yang menarik, sumber yang pelbagai, TVS mampu ‘menjerat’ hati penonton dari semasa ke semasa.

Yang pasti, TVS merupakan platform terbaik bagi masyarakat Malaysia dan global untuk lebih memahami tentang isi hati Sarawak yang bukan sahaja kaya dengan alam semula jadi, tetapi juga kaya bahasa, kaya budaya, dan kaya keharmonian.

Kekayaan inilah yang akan menonjolkan keunikan TVS sebagai satu lagi saluran baharu dalam dunia penyiaran dan komunikasi yang semakin menggila sekarang ini.

Walaupun muncul di tengah-tengah ledakan teknologi maklumat, namun TVS yang mempunyai identiti tersendiri, berpotensi untuk melebarkan sayapnya, ke segenap penjuru dunia.

Di samping itu, TVS juga akan menyediakan pelbagai peluang kerjaya menarik khususnya untuk generasi muda yang berani dan tabah untuk berkecimpung dalam dunia kewartawanan penyiaran yang menjanjikan banyak cabaran dan dugaan.

Pada masa yang sama, ia juga merupakan platform terbaik untuk menonjolkan karya asli bakat-bakat tempatan di negeri ini untuk diketengahkan ke persada nasional dan antarabangsa.

Sekurang-kurangnya, Kerajaan Sarawak telah menyediakan satu lagi ruang kerjaya untuk rakyat Sarawak yang disayangi. Kisah menarik Eyong Bogo wajar dijadikan teladan dan inspirasi, seiring dengan tema TVS, “Segar dan Memberi Inspirasi”.

Ketua Pegawai Eksekutif TVS Suhaimi Sulaiman. “Segar dan Memberi Inspirasi”.