RATUSAN ribu jangkitan baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam, meningkatkan jumlah kumulatif kes positif di seluruh dunia kepada 38.04 juta pagi ini.

Jumlah kematian keseluruhan pula sudah mencecah 1.08 juta.

Data terbaharu menunjukkan, Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan  lapan juta kes.

Negara Uncle Sam itu juga merekodkan kematian tertinggi dengan 220,011 kes.

Ini diikuti India dengan 7.17  juta kes dengan 109,000 kematian, Brazil 5.10 juta kes  dengan 150,709 kematian dan Rusia 1.31 juta kes dengan 22,722 kematian.

Sementara itu, Columbia, Peru, Sepanyol, Mexico, Argentina, Afrika Selatan, Perancis dan United Kingdom (UK) melepasi angka setengah juta dengan bilangan kes antara 504,281 dan 919,083.

Colombia yang berada di tangga kelima merekodkan 919,730 kes jangkitan dengan 28,000 kematian.

Negara dalam lingkungan angka 300,000 hingga 480,000 kes jangkitan Covid-19 adalah Chile, Iraq, Bangladesh, Itali, Filipina, Arab Saudi, Turki, Indonesia, Jerman, Pakistan.