KOTA SAMARAHAN: Belanjawan Negeri 2021 tidak akan  meminggirkan pembangunan negeri dan rakyat Sarawak.

Malah, Menteri  Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, belanjawan itu akan kekal berteraskan mesra rakyat bagi menggerakkan Sarawak ke hadapan menuju negeri maju menjelang 2030.

“Dalam tempoh tiga tahun kamu dapat lihat komitmen Ketua Menteri dalam membangunkan negeri ini tanpa meminggirkan keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas majlis perasmian D-Virtual OPark yang disekmpurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, pada Isnin.

Katanya, sejak Abang Johari menerajui negeri ini, tumpuan diberi kepada pembangunan khususnya di luar bandar.

“Ketua Menteri membawa banyak perubahan termasuk membina jalan pesisir, TVS dan semua ini dilakukan sejak sebelum pilihan raya,” ujarnya.

Jelasnya, Sarawak tidak akan berdepan masalah untuk tampil dengan bajet besar.

Untuk dua tahun berturut-turut, bajet Kerajaan Sarawak adalah sekitar RM10 bilion — sekali gus belanjawan terbesar  mana-mana negeri di Malaysia.

Sekitar 70 peratus daripada bajet Sarawak sejak dua tahun lalu adalah berorientasikan pembangunan di luar  bandar.