MIRI: Sekitar 24,000 pengguna aplikasi Smart Parking Borneo dicatatkan sejak mula dilaksanakan sepenuhnya di sini pada awal tahun ini.

Menurut Datuk Bandar Miri, Adam Yii, sambutan daripada warga Miri dilihat amat memberangsangkan apabila berjaya merekodkan jumlah pengguna itu.

“Aplikasi Smart Parking Borneo yang dibangunkan selama ini akhirnya mencapai tahap matang pada Disember 2019.

“Selepas percubaan dan demonstrasi di luar talian, ia akhirnya diperkenal kepada umum pada 15 Januari lalu dalam satu majlis sederhana yang diadakan di hadapan Majlis Bandaraya Miri (MBM),” katanya.

Beliau berkata demikian Majlis Pelancaran dan Perasmian Aplikasi Smart Parking Borneo yang diperkenalkan oleh MBM dengan kerjasama Borneo Parking Systems Sdn. Bhd.

“Melalui aplikasi ini, anda tidak perlu membayar lebih daripada harga yang ditetapkan dan boleh terus membayar kompaun tempat letak kereta jika ada.

“Terdapat banyak ciri lain seperti menyimpan sejarah tempat letak kereta dan mengekalkan akaun anda yang tidak memerlukan kita ke pondok jual kupon untuk membeli kupon kereta,” jelasnya pada majlis yang disempurnakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian itu.

Adam memberitahu, Miri adalah bandar pertama yang menggunakan dan melancarkan aplikasi sistem tempat letak kereta pintar yang mesra pengguna dan tanpa tunai di Sarawak.

“Kami jangka akan berlaku peningkatan jumlah pengguna selepas pelancaran rasmi hari ini (semalam) kerana orang ramai akan tahu dan turut serta untuk menikmati kemudahan dan faedah daripada penggunaan aplikasi ini.

“Pengenalan aplikasi Smart Parking Borneo ini sejajar dengan strategi pembangunan Kerajaan Sarawak melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi Digital,” tambahnya lagi.

Beliau memberitahu, ia juga salah satu inisiatif MBM untuk menerapkan penggunaan teknologi digital.

“Selain sistem ini, MBM juga telah menandatangani Memorandum Perjanjian dengan syarikat milik penuh Kerajaan Sarawak iaitu Sarawak Information Systems Sdn. Bhd pada 30 Januari lalu untuk melaksanakan projek perintis iaitu Miri sebagai Bandar Pintar,” ujar Adam.

Turut hadir, Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datu Dr Penguang Manggil Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Mohd Shahabudin Omar dan Setiausaha Tetap, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datu Antonio Kahti Galis.