MULAI jam 6 pagi semalam, TVS telah bersiaran melalui Saluran 122 Astro. Ini merupakan stesen TV terbaharu di dunia.

TVS milik Sarawak Media Group Sdn Bhd yang berpangkalan di Sarawak akan dirasmikan pada malam ini.

TVS, sebuah stesen televisyen yang diluluskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mendapat lesen selama 10 tahun.

Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang memiliki stesen TV ketika ini.

Memang, kita ada stesen TV nasional, tetapi TVS merupakan stesen TV milik rakyat Sarawak yang sewajarnya dibanggakan 2.8 juta rakyat negeri ini.

Idea menubuhkan stesen TV telah dicetuskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika beliau mulai menerajui Sarawak pada Januari 2017.

Namun, lesen yang sepatutnya diperoleh untuk mengendalikan stesen itu telah tidak diluluskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang menerajui pemerintahan selepas kemenangan dalam PRU-14, Mei 2018.

Lebih daripada 80 inisiatif telah dikemukakan Abang Johari setakat ini.

Penubuhan stesen TV tentu satu daripada yang menarik, selain daripada menguatkuasakan SST, mengambil alih Empangan Bakun, menubuhkan Petros dan puluhan lagi inisiatif membabitkan kepentingan, kebajikan dan masa depan rakyat.

Namun, TVS, bagi saya, antara yang mengejutkan dan mengagumkan. Beliau punya keberanian dan visi serta pemahaman mendalam tentang peranan besar dan berkesan yang dapat dimainkan TV ini nanti dari banyak segi.

Rakyat Sarawak termasuk yang bertebaran di seluruh dunia pasti menyambut baik langkah terbaharu oleh Kerajaan Negeri Sarawak ini.

Sebab, dalam dunia teknologi canggih ini, sesiapa pun dapat menonton TVS dari mana-mana penjuru dunia.

Sempadan geografi tidak lagi menjadi hambatan kerana teknologi canggih meruntuhkan segala-galanya.

Ketika Ketua Menteri melontarkan idea itu sekitar tiga tahun lalu, sebagai orang media dan komunikasi, saya tentu amat teruja.

Sebab, saya tahu akan peranan besar dan berkesan yang dapat dimainkan oleh televisyen, bukan sahaja dalam menyebarkan maklumat, tetapi juga membentuk pemikiran rakyat ke arah pembinaan sebuah negeri ini.

Yang jauh lebih menarik, TVS akan tampil lain dan berbeza daripada stesen TV nasional yang ada ketika ini. Ketika ini kita ada tujuh stesen TV nasional di negara ini.

Abang Johari bertekad kuat untuk memacu Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

Pelbagai strategi dan pendekatan, melalui pelbagai bidang, termasuk infrastruktur, ekonomi, dan pendidikan dilaksanakan, bagi memastikan Sarawak berada di atas landasan yang betul menuju negeri idaman yang dihasratkan.

Dalam konteks inilah, kewujudan dan peranan TV ini amat penting bagi memastikan segala maklumat berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan, aspirasi rakyat akar umbi dan pemikiran rakyat pelbagai kaum dapat ditampilkan.

TV merupakan media rakyat dan harus berorientasikan rakyat kerana TV yang terlalu memihak kepada pemilik atau kerajaan, tidak mungkin akan mendapat tempat di hati khalayak.

Seyogia diingat, TV kini berdepan cabaran daripada media sosial lain. Pada 7 September lalu, dunia meraikan ulang tahun ke-75 televisyen yang dicipta oleh saintis Amerika, Farnsworth. Untuk lebih daripada satu pertiga abad, dunia mengecil kerana globalisasi dan dan peranan TV.

Dengan penembusan 1.7 bilion set TV, lebih kurang satu set bagi setiap manusia di muka bumi, TV tetap terus memainkan peranannya. Lebih daripada 150 juta TV dijual di negara kurang membangun setiap tahun.

Implikasinya, TV tetap akan memainkan peranannya ketika banyak pihak menganggap bahawa TV sudah menjadi industri senja.

Tetapi harus diingat, ramalan yang sama juga dibuat ketika radio mulai muncul sehingga ada yang beranggapan suratkhabar tidak akan menjadi relevan puluhan tahun lalu.

Banyak ramalan juga tidak menjadi kenyataan kerana hakikatnya, penonton memerlukan pelbagai platform dan jenis bahan untuk merangsangkan pemikiran dan jiwa mereka.

Kepopularan TVS banyak bergantung kepada keupayaan pengendalinya dan barisan staf yang ada, untuk menampilkan program dan kandungan yang terbaik.

Maksudnya, program yang bukan sahaja relevan dan menepati cita rasa masyarakat pelbagai kaum di Sarawak, tetapi juga di seluruh negara.

Justeru, TVS perlu bersandarkan prinsip, berteraskan kandungan lokal, tetapi menampilkan gaya internasional.

TVS pasti akan menumpukan perhatian kepada kandungan berkaitan dengan Sarawak, baik dari segi sejarah, politik, budaya, ekonomi, pelancongan, sukan, hiburan mahupun pembangunan prasarana. Gaya hidup dan budaya sekitar 30 suku kaum di Sarawak tentu akan ditonjolkan melalui pelbagai program yang bersifat kontemporari, mengaspirasi dan menarik, sesuai dengan slogannya, “Menginspirasi Duniamu’.

Bagi merancakkan industri seni kreatif di Sarawak, sebuah platform dilahirkan bagi membolehkan pemain industri di negeri itu menghasilkan karya, dan seterusnya menjana pendapatan.

Untuk sekian lama, industri media dan kreatif di Sarawak tidak berkembang.

Puncanya? Sebab, walaupun kita mempunyai tujuh stesen TV nasional, kelihatannya, anak Sarawak yang berbakat dan kreatif dalam industri kreatif tidak merebut peluang yang dihidangkan.

Apakah puncanya? Adakah kerana tidak cukup galakan dan peluang? Tidak punya peralatan yang mencukupi dan kekurangan dana?

Kelebihan TVS terletak pada kandungan yang berpaksikan Sarawak dan kehidupan masyarakat Sarawak.

Ini merupakan peluang terbaik untuk para pemain industri, termasuk anak muda berbakat dalam pelbagai bidang untuk membuktikan bakat mereka dalam bidang pembikinan, penerbitan, lakonan dan sebagainya.

TVS pasti dapat bertindak sebagai platform kepada bakat kreatif muda untuk mewujudkan nilai komersial yang lebih meluas kepada para penonton.

Kandungan TVS majoritinya dari Sarawak dapat mempromosikan Bumi Kenyalang di mata dunia.

“Dengan adanya platform baharu ini, kita akan dapat memberitahu, mendidik dan menghiburkan para penonton terutamanya dari Sarawak

Hal ini kerana, TVS akan menyiarkan pelbagai jenis program seperti berita, dokumentari, telemovie, animasi dan bicarawara. Ini merupakan peluang keemasan untuk para pemain industri kreatif mempetajam bakat dan mengambil peluang dengan memberi sumbangan dengan menghasilkan karya seni untuk stesen TV ini nanti.

Tanpa disedari, TVS sebenarnya membuka banyak peluang pekerjaan dan seterusnya merangsangkan ekonomi dan industri kreatif tempatan yang selama ini bagai melukut di tepi gantang.

Kewujudan TVS pasti akan membuka peluang besar kepada pelbagai pihak dan pemain industri untuk menerokai segala kemungkinan bakat, keterampilan, imaginasi, dan kreativiti demi melahirkan program yang berkelas dunia.

Kita ingin melihat anak muda berbakat, terutama lulusan pelbagai pusat pengajian tinggi dari dalam dan luar negeri, termasuk dari Universiti Malaysia Sarawak untuk menerokai bidang ini secara serius.

Kita berharap dalam tempoh lima atau sepuluh tahun lagi, Sarawak bukan sahaja maju dari segi prasarana dan ekonomi, tetapi mengagumkan pencapaiannya dari segi industri kreatif dan penampilan bakat.

Kita jangan lupa satu hakikat. Bahawa selama ini TV nasional terutamanya TV swasta tidak mempedulikan sangat bahan dari Sarawak, termasuk isu-isu semasa. Malah, ketika PH memerintah, berita tentang pemimpin negeri ini dan kegiatan tidak berbentuk politik, termasuk pelancongan digelapkan walaupun mereka berjanji mengamalkan kebebasan media sebelum berkuasa.

Kita perlu belajar daripada episod duka ini. Sebagai akibatnya, wujud kesendengan dan jurang besar dari segi penyebaran maklumat antara Semenanjung dengan Sarawak dan Sabah. TVS tentu dapat membetulkan ketempangan ini dalam usaha merapatkan jurang maklumat sehingga masih ada rakyat di Semenanjung punya tanggapan negatif dan salah tentang Sarawak.

Dari segi ini, TVS dapat membantu untuk memantapkan integrasi nasional di negara ini, dengan menyiarkan program dari Sarawak yang dapat membantu mereka menjadi rakyat yang lebih memahami Sarawak.

TVS tentu akan menerima pujian dan kritikan. Sebagai stesen TV baharu, seperti mana-mana yang baharu tentu akan turut mempunyai kekurangan. Saya percaya pengendali dan pengurusan TVS merupakan mereka yang bersifat terbuka dan ingin sentiasa berusaha untuk terus meningkatkan kualiti kandungan dan persembahannya.

Itu sahaja jalan terbaik menuju kejayaan dan jika mahu terus mendapat tempat di hati khalayak. Berdasarkan maklumat balas yang saya terima semalam, ramai yang berpuas hati dengan program setakat jam 6 petang ketika kolum ini ditulis.

Sementara pujian dan sanjungan itu penting, ia tidak harus sampai melekakan. Yang jauh lebih penting ialah kritikan dan komen yang membina daripada penonton, kerana TV ini sebenarnya milik rakyat Sarawak dan para penonton. Komen positif akan membantu TVS untuk terus melangkah ke hadapan bagi memenuhi cita rasa penonton.

TV ini tidak dapat gagal. Kegagalan bukan pilihan. Justeru, TVS perlu meletakkan penanda aras tinggi untuk membolehkannya diterima baik oleh audiens.

Apakah penanda aras dan model TVS? BBC, CNBC, CNN atau Channel News Asia? Harus diingat, saluran TV terbaik dunia antaranya ialah CBS, NBC, HBO, ABC, Fox, Fox News Channel, ESPN, Univision, dan USA Network.

Tentu agak melampau untuk terus berada di tingkat dunia dan bersaing dengan stesen TV berkenaan hanya dalam sekelip mata. Kalaupun TVS dapat muncul nombor satu di negara ini, seperti diimpikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Sulaiman dalam tempuh satu tahun, itu sudah lebih daripada memadai.

Ketika ini tidak syak lagi, TV3 muncul nombor satu di negara ini dengan penguasaan 46 peratus jumlah penonton. Apakah sasaran TVS dari segi penguasaan jumlah penonton?

Kalaulah TVS dapat menarik minat majoriti rakyat Sarawak dan sebahagian besar daripada sekitar 32 juta rakyat negara ini, tentu ini merupakan satu pencapaian hebat.

Bagaimana pula dengan pendapatan periklanan? Pada 2019, peruntukan pengiklanan berjumlah sekitar RM9 bilion untuk media. Berapa banyak daripada jumlah itu dapat diraih stesen TV, termasuk TVS nanti?

Ada yang bertanya mengapa melalui saluran Astro? TVS ialah TV percuma.

Hakikatnya, sekitar 88 peratus daripada 603,000 isi rumah isi Sarawak memiliki perkhidmatan Astro. Jadi, sewajarnya, TVS memanfaatkan saluran itu ketika ia kini difahamkan, turut berunding dengan MyTV Broadcasting Sdn Bhd bagi memastikan TVS juga dapat diikuti melalui MyFree Digital TV.

Harus diingat, TVS juga berada di ruang digital dengan kandungannya turut dipaparkan melalui pelbagai platform digital seperti Facebook, Instagram, Youtube dan Twitter. Khalayak dapat menonton TVS melalui telefon bimbit mereka.

Malah, melalui telefon bimbit dan laptop, penonton juga dapat mengakses Astro Go.

TVS juga dapat ditonton melalui NJOI. Harus diingat TV analog tidak lagi wujud di negara ini. Penyaluran analog ke Sabah dan Sarawak telah ditutup pada 1 November 2019.

Ya, kini, kita berada dalam era digital, dan anda pasti tidak bermasalah untuk menonton TVS melalui platform berkenaan.

Tahniah kepada Kerajaan Sarawak dan SMG, dan selamat maju jaya kepada seluruh staf.

TVS Mengaspirasikan Duniamu.

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara