Langkah terbaru kerajaan negeri Sarawak  yang mewajibkan warganegara Malaysia yang ingin memasuki Sarawak dari Semenanjung Malaysia  dan Sabah wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin setiba di negeri ini dilihat mempunyai implikasi tertentu dalam kesihatan awam dan politik.

Langkah ini dilihat untuk membendung Covid-19 tersebar dari pintu masuk laluan utama ke Sarawak khususnya dari Semenanjung Malaysia. 

 Dalam pengumuman terbaru yang berkuatkuasa mulai 10 Oktober ini, ujian Covid-19 diwajibkan  dikenakan pada hari kedua dan ke-10  ketika berkuarantin manakala kos kuarantin serta ujian Covid-19 ditanggung sendiri oleh individu.  Namun bagi warga Sarawak kos tersebut akan ditanggung oleh kerajaan negeri Sarawak.

Tindakan ini dapat menghindari kemasukan ke Sarawak tanpa  urusan yang jelas. 

Hanya yang mempunyai urusan kerja penting akan memberikan komitmen untuk bersedia untuk dikuarantinkan. 

Sudah pasti langkah ini akan menyebabkan sektor  pelancongan  terjejas kerana pelancong dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan luar negara akan menganggap langkah ini menyebabkan rancangan melancong ke Sarawak tergendala.

Situasi ini bermakna bahawa tempoh kuarantin 14 hari merupakan satu tempoh panjang. Sudah tentu tindakan ini tidak menggalakkan sektor pelancongan berkembang dengan pesat secara keseluruhan. 

Tak mungkin pelancong dari Kuala Lumpur atau Kelantan mahu bercuti 3 minggu dengan menghabiskan  2 minggu tempoh berada di pusat kuarantin, sedangkan masa 3 minggu tanpa kuarantin satu tempoh yang sangat panjang.  

Lagipun purata pelancong berkunjung ke satu tempat atau negeri lazimnya kurang daripada  5 hari.  

Bermakna juga, Kerajaan Negeri Sarawak perlu menggalakkan pelancongan domestik, iaitu dalaman negeri Sarawak sahaja bagi menampung jumlah kehilangan pendapatan hasil daripada pelancongan dalam negara dan luar negara. 

Kesan Kesihatan Awam

Sebenarnya langkah kuarantin ini mempunyai strategi serampang dua mata atau dua dalam satu. 

Dari satu sisi, digunakan untuk mengawal pergerakan keluar masuk pintu laluan masuk ke Sarawak bagi mencegah covid-19. 

Jumlah peningkatan kes pandemik Covid-19 mencecah ratusan sehari di Semenanjung Malaysia dan Sabah adalah faktor utama kepada kepada langkah pencegahan dan penguatkuasaan kuarantin ke-14 ini.  

Langkah ini dapat mengelak daripada kemasukkan pembawa wabak  termasuk pesakit tanpa gejala Covid-19 seperti selesama, batuk, demam dan sesak nafas. 

 Yang dibimbangi ialah ‘pembawa senyap’ atau tanpa simptom yang dikesan banyak juga berlaku. 

 Lazimnya, individu tanpa gejala  dikatakan berupaya menyebarkan wabak berkenaan pada minggu pertama tempoh pengeraman. Sekiranya dikuarantinkan maka kebolehjangkitan akan berkurangan atau hampir menjadi sifar selepas 14 hari.

Ketika isu Covid mula dikesan secara serius dalam 3 bulan PKP pernah direkodkan  bahawa golongan individu tanpa gejala, tetapi positif COVID-19 di Malaysia didapati lebih ramai, termasuk membabitkan tempat atau pasar awam (86.4 peratus), pusat jagaan warga emas (84.6 peratus) dan PATI atau pekerja asing (kira-kira 80 peratus). 

Kluster kumpulan tahfiz (86 peratus) merupakan kategori atau golongan tanpa gejala. 

Berdasarkan statistik ini, situasi  ini sangat membimbangkan kepada keselamatan kesihatan rakyat di negara ini. Maka, langkah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak merupakan langkah ke hadapan yang sangat wajar dialu-alukan.

Kesan politik 

Langkah kuarantin 14 hari pasti memberikan kesan kepada politik negeri Sarawak.  Sekiranya GPS berazam mengadakan pilihan raya pada tahun ini, maka ia mampu memberikan manfaat besar  dan kelebihan kepada politik GPS. 

Pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 yang diadakan pada tahun 2016, banyak gerak kerja Pakatan Rakyat  terbantut apabila wujudnya sekatan terhadap kemasukan  ke Sarawak  yang dikenakan kepada pemimpin utama PR.  

Misalnya, sekatan terhadap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah telah merencatkan  kempen PKR.  

Sepatutnya beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR berada di Miri, akan tetapi tidak dapat masuk dan terpaksa balik ke Kuala Lumpur.  

Ini dianggap pembangkang sebagai kurang adil untuk mereka menjalankan aktiviti politik kerana tidak dapat bertemu dan merancang kempen dengan penyokong mereka

Di bawah kuasa imigresen Sarawak berhak menghalang mana-mana pihak yang dilihat sebagai ‘mengancam’ kepentingan Sarawak. 

Hak imigresen ini adalah perkara Perjanjian 18/20 perkara  syarat  untuk persetujuan pembentukan Malaysia pada tahun 1963 yang tujuan asalnya untuk melindungi  kepenttingan ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan Sarawak daripada Semenanjung Malaysia.

Kesan daripada penggunaan kuasa imigresen ini, ramai pemimpin politik dari Semenanjung tidak mengetahui status mereka sama ada diterima masuk atau disebaliknya, dan situasi ini menyukarkan dari segi penyediaan tiket penerbangan, jentera kempen dan lain-lain.

Selain Nurul Izzah,  Azmin Ali yang ketika itu sebagai Menteri Besar Selangor, merangkap Timbalan Presiden PKR dan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dibenarkan akan tetapi dihadkan tempoh tinggal mereka. Kesemua ini dilakukan berdasarkan kuasa imigresen kerajaan negeri Sarawak.

PUTRAJAYA, 22 April -- Sebanyak 237 kertas siasatan berkaitan berita palsu COVID-19 telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mengekang penyebaran berita yang dapat menyebabkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat.<br /> Pasukan Respons Pantas (PRP) yang dianggotai oleh petugas jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertujuan untuk memantau dan menjelaskan berita-berita mahupun hebahan-hebahan yang mencurigakan kesahihannya.<br /> --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Perubahan

Pada kali ini dengan penguatkuasan kuarantin dalam tempoh 14 hari, ia akan menyebabkan pembangkang Pakatan Harapan dan juga pemimpin politik Perikatan Nasional sukar untuk datang ke Sarawak dengan mudah kerana perlu mematuhi peraturan oleh kerajaan negeri Sarawak.

Dengan kata lain, kempen Pakatan Harapan yang dikendalikan oleh pemimpin-pemimpin kanan PH akan menjadi lebih perlahan dan terhambat dengan kempen ini. Misalnya, tanpa Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng bertemu dengan pengundi Cina di Sarawak, momentum kempen DAP akan pudar di Sarawak.  

Sukar bagi kedua-dua pemimpin utama DAP ini untuk berkuarantin dalam tempoh yang lama selama 14 hari, sedangkan banyak perkara politik nasional yang memerlukan pergerakan mereka lebih pantas dan langkah untuk ke Sarawak dan berkuarantin bukanlah situasi terbaik untuk mereka.

Begitu juga pemimpin Perikatan Nasional juga akan mengalami masalah yang sama. Kedatangan beramai-ramai khususnya kalangan pemimpin-pemimpin besar mereka tentulah sukar dan kurang berbaloi. 

Bayangkanlah Perdana Menteri  yang berhasrat untuk berkempen di Sarawak, memerlukan beliau kuarantin 2 minggu di Sarawak sebelum berkempen. Begitu juga, menteri-menteri dan pemimpin parti politik dari Semenanjung untuk berkempen memerlukan mereka menjalani kuarantin 14 hari terlebih dahulu.

Bahkan ahli parlimen Sarawak termasuk menteri kabinet dan timbalan menteri dari sarawak turut berkuarantin selama 14 hari. Maka ,ia akan diketahui tarikh pembubaran dan penamaan calon lebih mudah, Hal ini kerana pastinya, ahli parlimen dari Sarawak akan balik ke Sarawak lebih awal untuk berkuarantin 2 minggu sebelum mengikuti aktiviti politik  bagi menyokong calon wakil rakyat di dewan undangan negeri (DUN)  mereka berkempen dalam kempen pilihan raya negeri. 

Sementara itu, kempen pilihan raya lazimnya tidak panjang, iaitu sekitar 2 minggu sahaja. 

Ketika ini juga, ahli parlimen dari Sarawak juga perlu lebih berhati-hati dalam  menentukan jadual mereka balik ke Sarawak bertemu dengan pengundi dengan jadual persidangan dewan rakyat akan datang kerana tanpa perancangan jadual yang teliti akan menyebabkan mereka tidak dapat hadir dalam pembentangan bajet di Dewan Rakyat  dan ini boleh menjejaskan lagi  sokongan rapuh di peringkat dewan rakyat.

Apapun, penguatkuasaan kuarantin selama 14 hari memberikan manfaat besar kepada kesihatan awam dalam konteks negeri Sarawak dan membantu memberikan kelebihan kepada GPS  untuk mendapat kemenangan besar,  sekurang-kurangnya daripada mengelakkan pemimpin Pakatan Harapan datang terlalu beramai-ramai dan berkempen ke Sarawak. 

Hanya yang benar-benar prihatin dan komited sanggup kuarantin 14 hari sebelum berkempen di Sarawak. Itu pun tertakluk kepada kuasa dan hak kerajaan negeri menentukan tempoh perlu berada di negeri Sarawak. 

Apabila situasi ini berlaku, ia seolah-olah hampir mengesahkan bahawa pilihan raya negeri Sarawak dijangka diadakan pada tahun ini.    

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.