BRASILIA: Remaja berusia 15 tahun menyebabkan sekumpulan doktor bingung selepas dikatakan mengeluarkan air mata berdarah selama seminggu.

Sehingga kini doktor masih mencari puncanya. Remaja yang dikenali sebagai Doris itu mula berasa kurang sihat pada 12 September lepas dan ibunya membawanya mendapatkan rawatan di hospital di Sao Paolo.

Dia mengadu sakit di bahagian perut dan doktor mengesahkan dia mempunyai batu karang.

Setelah diberikan ubat dia dibenarkan pulang. Namun sehari kemudian dia dikejarkan ke bilik kecemasan selepas darah keluar dari sebelah matanya.

Doktor sekali lagi memeriksa Doris tetapi gagal menemui punca yang menyebabkan matanya keluar darah.

Memandangkan dia tidak mengadu sakit atau kurang selesa doktor membenarkannya pulang ke rumah.

Ibu Doris, Juliana Teixeira de Miranda, memberitahu selang beberapa jam selepas pulang dari hospital, darah mula keluar dari kedua-dua belah matanya pula.

Dia dimasukkan semua ke hospital dan menjalani pelbagai ujian antaranya tomografi, namun doktor masih belum dapat mengesan penyebabnya.

Menurut Doris, matanya mula mengeluarkan darah sejak 13 September dan ia muncul pada bila-bila masa pada siang hari. Dia diminta datang semula ke hospital untuk melakukan beberapa ujian lagi.