DELHI: Suami sanggup menipu isterinya mendakwa dia dijangkiti Covid-19 semata-mata hendak berkahwin dengan teman wanitanya, menjadikannya tumpuan media antarabangsa.

Pada 24 Julai lalu, Manish Mishra menghubungi isterinya memberitahu dia disahkan positif Covid-19.

Dia mendakwa tidak mahu hidup meneruskan hidupnya lagi. Manish kemudiannya mematikan telefon bimbitnya menyebabkan keluarganya panik.

Selepas menerima panggilan telefon tersebut, isterinya meminta bantuan abangnya yang menasihatkannya supaya membuat laporan “orang hilang” di balai polis Navi Mumbai.

Hasil siasatan polis mendapati Manish menggunakan alasan dijangkiti Covid-19 kerana mahu meninggalkan keluarganya dan berkahwin dengan teman wanitanya.

Polis memeriksa semua makmal perubatan di lokasi terakhir dia ditemui dan tidak menemui nama Manish Mishra.

Mereka kemudian menghubungi majikannya dan mendapat tahu lelaki itu baru sahaja dipecat kerana terlibat dalam cubaan menipu.

Setelah menyoal siasat rakannya, polis menerima maklumat dia bermain kayu tiga. Hubungan dia dengan teman wanitanya berlarutan beberapa tahun dan dia nekad meninggalkan isteri serta anak perempuannya demi berkahwin dengan wanita itu.

Polis juga mengesan lokasi terakhirnya dan menemui motosikal serta kuncinya, beg dan topi keledarnya.

Mereka turut mencari mayatnya di sebuah sungai tetapi tidak menemui apa-apa.

Hasil siasatan dari lokasi panggilan terakhirnya pula, polis memeriksa rakaman CCTV di sekitar kawasan itu dan melihat kelibatnya memasuki sebuah kereta.

Maklumat yang diperoleh daripada rakan-rakannya membolehkan polis mengesannya di kota Indore.

Manish yang tinggal bersama teman wanitanya itu ditahan polis dan dibawa kembali ke Navi Mumbai untuk disatukan semula dengan keluarganya.

Sebahagian besar wargamaya yang mengikuti kisahnya memberitahu mereka tidak dapat membayangkan bagaimana lelaki ini menjelaskan dirinya kepada keluarganya dan apakah kesudahan nasibnya.