SESIAPA pun berhak di bawah perlembagaan dan undang-undang negara untuk menubuhkan parti politik di negara ini, tidak kira golongan tua atau muda.

Yang penting, asalkan parti itu didaftarkan dan bergerak mengikut undang-undang negara. Sama ada parti politik berkenaan mendapat sambutan atau tidak, ia merupakan satu perkara lain.

Setiap pemimpin mahu parti diterajuinya disokong, dan seterusnya menang dalam pilihan raya. Maksudnya, tidak ada pemimpin yang waras menubuhkan parti politik hanya untuk suka-suka atau main-main.

Setiap parti politik mempunyai falsafah, dasar dan ideologi perjuangannya.

Ketika menubuhkan parti politik, idealisme pengasasnya selalunya begitu hebat dan ideal.

Bukan menghairankan di atas kertas, asas dan objektifnya begitu mengagumkan, tetapi apabila sudah berkuasa, apa-apa yang dijanjikan itu kadangkala sukar direalisasikan. Kenyataan tidak sama dengan impian.

Untuk tahun ini sahaja, sekurang-kuranganya dua parti politik ditubuhkan di Semenanjung.

Pertama, Pejuang oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kedua, Muda oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Tentu sebahagian kita terkejut dengan tindakan Syed Saddiq tidak menyertai Pejuang, sebaliknya memilih untuk menubuhkan parti khusus untuk golongan muda dan belia.

Tentu Syed Saddiq mempunyai justifikasi kuat untuk tidak menyokong Pejuang dan Dr Mahathir, sebaliknya memilih jalan sendiri dengan menubuhkan Muda.

Memang, jumlah parti politik di negara ini, begitu banyak. Hakikatnya, bukan semua parti politik mendapat sambutan. Hanya sedikit yang mendapat tempat di hati pengundi dan rakyat.

Bekas Pengerusi Bersatu itu berkata, kewujudan lebih banyak parti hanya akan menyebabkan berlaku pertembungan sesama sendiri yang akhirnya akan menyebabkan kekalahan kepada pembangkang.

Dr Mahathir mendakwa parti anak muda itu akan memecahkan sokongan pengundi terutama dalam kalangan orang Melayu.

Benarkah dakwaan Dr Mahathir itu? Tanpa parti baharu itu sekalipun, sokongan pengundi sudah berpecah.

Persoalannya, kalau hujah Dr Mahathir dijadikan sandaran, mengapa pula beliau nekad menubuhkan Pejuang? Adakah hal ini bermakna parti beliau tidak memecahkan undi, sebaliknya menyatukan rakyat dan pengundi?

Bagi Syed Saddiq, adakah beliau melihat potensi parti itu untuk mendapat sokongan golongan muda ekoran langkah penurunan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun?

Pengundi anak muda berkemungkinan akan bertambah lapan juta jika diambil kira faktor 18 tahun had umur.

Usul pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal Julai 2019.

Usul itu merupakan satu daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan dibentangkan Syed Saddiq.

Persoalannya, adakah sudah memadai sesebuah parti hanya bertujuan untuk mendapat sokongan daripada kalangan golongan muda?

Memang diakui, peratusan golongan muda di negara ini adalah sekitar 46 peratus?

Realitinya, bukan semua orang muda akan memberi sokongan kepada parti Muda.

Seyogia diingatkan, hampir setiap parti politik di negara ini mempunyai sayap pemuda dan puteri. Apakah tawaran istimewa parti Muda itu kepada golongan terbabit sehingga mereka bakal berduyun-duyun menyertainya?

Tidak syak lagi Muda akan menjadi parti politik pertama yang diterajui golongan belia berbilang kaum di negara ini.

Syed Saddiq dalam satu temu bual dengan sebuah stesen radio mengingatkan bahawa sebarang halangan yang bakal dihadapi sewaktu pendaftaran parti itu akan mengundang kecaman masyarakat.

Persoalannya, adakah parti pimpinan Syed Saddiq itu akan diterima oleh golongan muda?
Memang tidak disangkal lagi bahawa golongan muda ialah pemimpin masa depan. Perlu diakui bahawa politik dan parti politik bukan hanya untuk golongan berusia atau dewasa.

Dengan kadar celik politik yang semakin tinggi dan dibantu dengan peranan media sosial, maka peranan golongan muda dalam politik semakin signifikan.

Namun, beliau perlu berdepan realiti. Tidak ada mana-mana parti politik yang khusus menumpukan kepada satu-satu puak.

Adakah Syed Saddiq mendapat inspirasi daripada beberapa parti politik sedemikian di luar negara termasuk di Thailand, Perancis atau Finland.

Adakah kemenangan pemimpin muda di Finland pada awal tahun ini menjadi motivasi dan inspirasi kepada beliau?

Adakah pengaruh dan kredibiliti ahli parlimen Muar itu cukup kuat dan tinggi ketika nasibnya di kerusi berkenaan dalam PRU akan datang juga masih dalam awan kelabu?

Syed Saddiq tidak mempunyai rekod yang dapat dibanggakan sebagai menteri dan pemimpin ketika PH memerintah. Malah, selain Dr Maszlee Malik, Syed Saddiq merupakan antara menteri yang dianggap berprestasi teruk.

Ini tidak menghairankan, kerana beliau masih mentah dari segi politik dan pengalaman walaupun tidak dinafikan memiliki energi, dinamisme dan kesungguhan.

Persoalannya, bagaimana mungkin seorang yang masih hijau berupaya untuk menyakinkan rakyat di negara ini?

Untuk muncul relevan, parti beliau perlu memenangi beberapa kerusi dalam PRU nanti.

Jadi, usaha yang diambil oleh Syed Saddiq itu dapat dikatakan sebagai satu eksperimen yang kemungkinan besar berdepan risiko untuk gagal kecualilah golongan muda kita mempunyai pendirian politik sama seperti di Finland.